Desak naik harga lantai getah kepada RM3.50 - Utusan Malaysia

Desak naik harga lantai getah kepada RM3.50

AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perkembangan harga getah yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini sehingga RM2.30 sekilogram (kg) menimbulkan kebimbangan terhadap kepayahan hidup penoreh getah di kawasan luar bandar seluruh negara.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan turut menekan penoreh getah untuk menampung kehidupan seharian.

Katanya, kehidupan penoreh getah yang terdiri daripada golongan warga emas kian terhimpit bahkan mendepani cabaran kemelut kewangan keluarga bagi rawatan perubatan.

“Saya menggesa agar kerajaan menaikkan harga lantai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.50 untuk setiap kg dengan kadar segera dan kawalan getah sintetik yang dihasilkan secara besar-besaran perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah ini.

“Pendapatan penoreh terjejas tambahan pula pada musim hujan yang berpanjangan dan menyebabkan aktiviti harian mencari nafkah tidak dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keluhan penoreh getah di Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu di Padang Terap mengenai harga getah yang semakin murah, namun, harga barangan keperluan dapur melonjak tinggi hingga membebankan mereka.

Ramai penoreh di kawasan itu pada hari ini terpaksa bergadai barangan kemas mereka bagi menampung keperluan hidup selepas harga getah jatuh merudum.

Sementara itu, laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini sehingga boleh membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu sehingga boleh mendatangkan hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar adalah tinggi.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Tarmizi, terdapat segelintir penoreh mengambil upah menoreh di kebun getah milik orang lain dan hasilnya perlu dikongsi menyebabkan pendapatan bulanan mereka terlalu sedikit dengan harga semasa.

“Sebahagian mereka yang terhimpit terpaksa berjimat cermat membeli keperluan harian bagi meringankan perbelanjaan barang dapur memandangkan kurang hasil pendapatan daripada hasil torehan getah.

“Keadaan seperti ini akan menjadi sangat genting sekiranya ramai penoreh getah berhijrah ke tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan memandangkan ia akan memberi impak buruk terhadap bekalan getah asli di Malaysia kelak,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, bantuan kerajaan melalui pengiktirafan IPG pada kadar tersebut dan kenaikan harga lantai getah merupakan suatu langkah yang sangat penting bagi membantu penoreh getah meneruskan kelangsungan hidup. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN