DAP terus tampilkan calon Melayu

DAP terus tampilkan calon Melayu

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP terus memperkukuhkan usaha menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan menampilkan calon-ca­lon Melayu berkredibiliti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan, parti itu pelbagai kaum maka tidak aneh untuk DAP menampilkan calon wakil rakyat Melayu.

“DAP dalam usaha berterusan menampilkan wakil rakyat Melayu yang bukan sekadar layak tetapi juga mempunyai kredibiliti.

“Di Johor juga kita telah menyaksikan keterbukaan DAP. Kita perlu hentikan segera politik perkauman dan ekstremis.

“Bagi PRU15 akan datang, ia merupakan persaingan sengit antara satu naratif yang mahu mengutamakan perpaduan rak­yat dan satu lagi naratif ekstremis, contohnya pemimpin yang menyalahkan rakyat bukan Melayu atas kesalahan rasuah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, DAP Perak dikatakan dalam proses untuk menubuhkan cawangan parti itu di Parit, kawasan Parlimen yang majoritinya pengundi Melayu.

Sumber berkata, lebih daripada 300 orang telah mengambil borang keahlian dan setakat ini lebih 200 borang dikembalikan untuk menyertai parti itu malah semua yang memohon keahlian tersebut merupakan orang Melayu.

“Jika semuanya berjalan me­ngikut jadual, cawangan DAP Parit mungkin akan dirasmikan pada 15 September ini. Cawa­ngan Parit akan menjadi cawa­ngan pertama DAP di Parit dan Perak Tengah.

“Ahlinya semua Melayu. Setakat ini penggeraknya belum ada kerana tiada lagi jawatan secara rasmi dan belum dimaklumkan kepada RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Pihak pimpinan DAP Perak ada memberikan bantuan dari segi perbincangan nak tubuh ca­wangan di Parit,” jelas sumber tersebut.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, DAP memberi keutamaan kepada ketelusan pentadbiran supaya rakyat dapat menikmati hidup yang selesa dan berkualiti berbanding mengutamakan perihal isu perkauman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN