KOTA BHARU: Kerajaan membuat ketetapan sebarang perkembangan atau maklumat mengenai siasatan berkaitan ketirisan dan kehilangan data di peringkat agensi serta jabatan perlu dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah tersebut bagi memastikan tiada seberang gangguan berlaku semasa proses siasatan dijalankan.
Menurutnya, kerajaan sebenarnya mengadakan beberapa mesyuarat serta perbincangan berkaitan perkara tersebut dan memandang serius ketirisan data dan kecurian data secara berterusan.
“Apa-apa kenyataan biarlah dikeluarkan oleh Nacsa supaya tidak mengganggu penyiasatan sekali gus mengelak maklumat tidak tepat dikeluarkan. Cuma, yang boleh dimaklumkan, kita telah mendapat petunjuk tertentu dan tindakan sedang disusun.
“Siasatan ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi. Cuma Cyber Security Malaysia (CSM) akan memberi perkhidmatan penyiasatan forensik kerana mempunyai tenaga pakar dalam bidang berkaitan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu pencerobohan data yang berlaku sebelum ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Agihan Peranti Siswa di Kolej Matrikulasi Kelantan di Kok Lanas, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bertindak sebagai badan kawal selia untuk memberikan input-input tertentu terutama bagi mengenalpasti pendaftaran IP dan sebagainya.
Katanya, ketirisan dan kehilangan data berterusan melibatkan agensi dan jabatan kerajaan seolah-olah menjadi satu fenomena pada masa kini dan ia sememangnya diberi perhatian serius.
“Sebab itu kita telah membentuk satu kerangka kerja untuk memperbaiki serta melindungi masalah-masalah berkaitan cybertracks, cyber security termasuk masalah scammers, hacking dan ketirisan data-data awam serta individu.
“Ini sedang berlaku di semua negara dan kita perlu adakan sesuatu. Antaranya beberapa akta sedang dipinda dan akan dipinda dalam sesi parlimen akan datang. Pada masa sama, kerajaan turut menerapkan penggunaan teknologi tertentu dan pembangunan aplikasi untuk melindungi data-data yang ada.
Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan siasatan berkaitan kes i-Pay 88 melibatkan data syarikat telah berjalan dengan beberapa maklumat diperlukan telah dikumpul dan kajian-kajian tertentu serta kerjasama daripada pihak tertentu sedang berjalan.
“Peraturannya cukup ringkas. Jika didapati kesilapan berlaku di pihak syarikat-syarikat pengendali, maka mereka akan didakwa serta dikenakan denda sepertimana tindakan diambil ke atas banyak syarikat sebelum ini,” ujarnya. –UTUSAN