Bung Moktar, Zizie diarah bela diri - Utusan Malaysia

Bung Moktar, Zizie diarah bela diri

Bung Moktar Radin, isterinya Zizie Izette Abdul Samad diperintah bela diri atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun turun naik mahkamah, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam memerintahkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan Zizie Izette.

“Tertuduh pertama (Bung Moktar) dianggap telah memperoleh suapan RM2.8 juta sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsip dan telah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Flecra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk Unit Amanah Public Mutual seperti mana pertuduhan tertuduh pertama melainkan sekiranya dapat dibuktikan sebaliknya.

“Oleh demikian, kamu tertuduh pertama dipanggil mem­bela diri bagi kesemua ketiga-tiga pertuduhan terpinda bagi kesalahan di bawah Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009.

“Sehubungan dengan itu, anggapan di bawah Seksyen 50 Akta SPRM adalah terpakai selaras dengan subseksyen 28 (2) Akta SPRM 2009. Oleh itu, tertuduh kedua juga dipanggil untuk membela diri bagi kesemua ketiga-tiga pertuduhan,” kata Hakim Rozana ketika membaca keputusannya

Rozina kemudian memberi tiga pilihan membela diri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette iaitu berdiam diri, memberi keterangan daripada kandang tertuduh dan tidak boleh disoal balas oleh pendakwaan atau memberi keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan boleh disoal balas.

Keterangan bersumpah

Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, memilih untuk memberi keterangan bersumpah daripada kandang saksi.

Sementara itu, peguam-peguam bela pasangan itu, Datuk K. Kumaraendran dan M. Athimulan memberitahu, selain anak-anak guam mereka, pihak pembelaan juga akan memanggil lapan saksi.

Athimulan kemudian mencadangkan agar perbicaraan peringkat bela diri dijalankan pada Disember ini kerana Bung Moktar perlu menghadiri sesi Parlimen bermula 3 Oktober hingga 29 November ini.

Bagaimanapun, mahkamah memaklumkan perbicaraan akan bermula bulan ini dan mahkamah akan mengutamakan kes itu berbanding kes lain.

Mahkamah menetapkan 23 September ini sebagai hari pertama perbicaraan peringkat bela diri dengan Bung Moktar menjadi saksi pertama pembelaan.

Kes ditetapkan untuk bersambung pada 26 September, 14 Oktober dan 28 Oktober, 21 November dan 30 November, 1 Disember dan 7 Disember.

Mahkamah turut menetapkan 3 Januari dan 9 hingga 13 Januari 2023 sebagai tarikh sambung bicara.

Menutup kes

Pihak pendakwaan menutup kes pada 17 Mei lalu, selepas saksi terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37, selesai memberikan keterangan.

Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad ketika menjawat jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015 serta di antara pukul 12.16 tengahari dan 12.28 tengahari, 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.

Pertuduhan terhadap pelakon itu dikemukakan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×