RANTAU PANJANG: Seorang adik sanggup berhenti kerja semata-mata mahu mengabdikan diri dengan menjaga abangnya yang diserang penyakit kanser prostat sejak empat bulan lalu.
Mohd. Shahruddin Hazmah, 27, berkata, serangan penyakit itu menyebabkan abangnya Muhammad Shahrizan hilang upaya untuk bekerja dan bergerak serta menguruskan diri seperti manusia normal lain.
Menurutnya, sejak diserang penyakit itu, Muhammad Shahrizan hanya mampu terbaring di atas tilam selain terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Saya akui tindakan itu menjejaskan sumber pendapatan keluarga walaupun hanya bekerja sebagai buruh binaan. Namun, dengan upah yang diterima, sudah mampu untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga bila dicampur dengan pendapatan abang.
“Bagaimanapun, disebabkan keadaan ibu (Mek Yam Sorep,69,) yang sudah uzur, saya terpaksa membuat keputusan tersebut kerana itu pilihan terbaik yang ada buat masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kedai Lama Rantau Panjang di sini hari ini.
Mohd. Shahruddin memberitahu, bebanan keluarga sedikit berkurangan apabila lima adik beradik yang lain termasuk jiran tetangga turut datang membantu.
Katanya, bagaimanapun lima beradik berkenaan sudah mempunyai tanggungjawab kepada keluarga masing-masing selepas berumah tangga.
“Setiap bulan sebanyak RM1,000 diperlukan untuk membeli barangan keperluan abang terutama lampin pakai buang dan barangan-barangan lain,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan atas nama Muhammad Shahrizan Hamzah ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di 0301641100038387. –UTUSAN