Tiada jemputan, UMNO Terengganu nafi boikot Ijtimak Perpaduan Ummah

Tiada jemputan, UMNO Terengganu nafi boikot Ijtimak Perpaduan Ummah

SEBAHAGIAN pengunjung yang hadir pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: UMNO Negeri Terengganu menafikan memboikot Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, sebaliknya menegaskan ketiadaan mereka di program itu kerana tidak pernah menerima jemputan daripada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang memaklumkan semua parti politik telah dijemput menghadiri program berkenaan.

“UMNO Terengganu menegaskan kami tidak menerima sebarang jemputan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan penganjuran program tersebut. Sekiranya jemputan dibuat di peringkat pimpinan tertinggi iaitu UMNO Pusat, perkara itu adalah di luar pengetahuan dan tindakan kami di peringkat negeri,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, katanya, hasil semakan yang dilakukan dengan Setiausaha Kerja UMNO Pusat mendapati tiada sebarang jemputan diterima untuk program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Alam Melayu di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, hujung minggu lalu.

Nik Dir berkata, UMNO pada dasarnya tidak mempunyai halangan untuk menghadiri program anjuran mana-mana pihak asalkan ia melalui saluran yang betul.

“Kita sentiasa bersikap terbuka dan biasanya akan memenuhi jemputan daripada parti lain, namun ia tertakluk kepada kesesuaian program serta kelapangan masa pimpinan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, jemputan telah dihantar kepada semua wakil parti Melayu di negara ini untuk menghadiri program tersebut, namun kehadiran adalah bergantung kepada kelapangan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN