PUTRAJAYA: Setakat pukul 3 petang ini, hanya seorang daripada empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
Manakala, tiga lagi anak Tun Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin masih belum kelihatan.
Buat masa ini, tiada makluman mengenai kehadiran ketiga-tiga individu itu daripada SPRM sama ada hadir memberi keterangan hari ini atau esok.
Setakat ini, hanya Asnida yang tampil memberi keterangan selepas tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9.50 pagi tadi dan proses merekod keterangan masih berjalan.
Media sebelum ini melaporkan, empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham diarahkan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Keempat-empat mereka dijangka memberi keterangan kepada SPRM susulan notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan perisytiharan aset.
Sebelum ini, SPRM menyerahkan Notis Kesan Individu ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi berkaitan perisytiharan aset. – UTUSAN










