PETALING JAYA: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin diarah membayar ganti rugi kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebanyak RM50,000 kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap agensi itu.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mas Ermieyati juga perlu membuat permohonan maaf secara bertulis, menarik balik kenyataan dan memadam semua hantaran video di semua platform media sosialnya.
“Alhamdulillah, Mahkamah Tinggi Melaka Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Defendan Mas Ermieyati telah mengakui mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap saya dan MARA.
“Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial beliau dan membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada MARA,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Mas Ermieyati dikatakan menuduh Asyraf Wajdi menghabiskan dana MARA menerusi lawatan mengejutnya, program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau berharap ia menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi.
“Terima kasih kepada barisan Peguam MARA yang diketuai oleh Datuk Adnan Seman dan seluruh pegawai MARA yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan,” katanya. – UTUSAN










