Bekas pegawai khas bekas MB didakwa tipu gaji - Utusan Malaysia

Bekas pegawai khas bekas MB didakwa tipu gaji

Khairul Anuar dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini untuk didakwa atas pertuduhan menipu penyata gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas pegawai khas kepada mantan Menteri Besar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan penyata gaji berjumlah lebih RM15,000 empat tahun lalu. 

Tertuduh, Khairul Anuar Daud, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa memalsukan dokumen slip gaji sebuah syarikat penerbangan tempatan bagi Mei 2018 atas namanya yang berjumlah RM15,820.63, dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di sini antara 26 Jun hingga 10 Julai 2018.

Dia didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dayang Masneh Deh, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Hazza Khalid dan Suraya Hani Abdul Halim. 

Terdahulu, Dayang Masneh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan. 

Peguam tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan berikutan tiga anak tertuduh masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Pasportnya turut diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali. 

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya