PETALING JAYA: Kira-kira 50 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini berisiko berdepan masalah bekalan air pada masa hadapan ekoran pencemaran sungai di Malaysia ketika ini berada pada tahap yang sangat serius kesan pelepasan pelbagai sisa industri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean berkata, pencemaran sungai yang menjadi sumber air sangat serius dan ia berlaku di seluruh negara bermula di hulu sungai hinggalah ke kawasan bandar.
“Jika tidak kerana empangan dan kawasan tadahan air selain kawasan hutan diberikan status perlindungan, dijangka 50 peratus penduduk Malaysia akan terjejas akibat kekurangan air mentah yang kotor dan tidak boleh dirawat. Perkara ini sangat membimbangkan dan perlu dibendung.
“Masalah pencemaran sungai sekarang berlaku di seluruh negara, ia bermula di hulu sungai akibat pelbagai pencemaran termasuk pembalakan, pembukaan tanah ladang dan pertanian. Di kawasan bandar pula, kita berdepan masalah pelepasan sisa-sisa toksik termasuk sisa influen.
“Pertanian dan perladangan libatkan pencemaran kelodak lumpur, baja kimia dan racun perosak. Ia berlaku di kawasan-kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands. Jika masih berterusan kita akan berdepan risiko pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kira-kira 80,747 kilang direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara berpotensi menyebabkan pencemaran terutama terhadap sumber air minuman sekiranya pengusahanya gagal mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan khususnya dalam rawatan sisa efluen.
Lebih memburukkan keadaan adalah wujud juga kilang yang beroperasi secara haram tetapi tidak dapat dipantau kerana tiada rekod rasmi dari segi jumlah dan lokasi kilang-kilang berkenaan.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia semalam, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latif Wan Jafar berkata, kebanyakan premis kilang haram itu dibina di kawasan-kawasan terpencil dan jauh dari penempatan seperti dalam kawasan ladang dan tanah berstatus pertanian.
Menurut Damien, masalah pencemaran sumber air juga telah menyebabkan beberapa kali Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di Selangor dan LRA Bentong, Pahang terpaksa ditutup kerana air yang diterima masuk terlalu kotor akibat pencemaran amonia, sampah sarap atau air berlumpur.
Ditanya mengenai kilang-kilang termasuk kilang haram yang gagal mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan khususnya dalam rawatan sisa efluen, beliau berkata, sudah tiba masanya JAS menggunakan teknologi canggih bagi mengesan jenis pencemaran yang dilepaskan ke sungai.
“Apabila guna teknologi canggih untuk mengesan pencemaran, kita tidak perlu letakkan penguat kuasa bertugas 24 jam. Kita juga dapat kesan pencemaran di peringkat awal lagi dan jenis sisa yang dilepaskan ke sungai. Jadi, saya lihat kerajaan perlu keluarkan perbelanjaan untuk guna teknologi ini.
“Kita juga perlu melihat perkara ini seawal pendaftaran kilang-kilang ini, di mana sewaktu perjanjian perlu diwujudkan satu syarat berhubung pelanggaran isu ini. Jika berlaku pencemaran, kilang-kilang ini perlu dipertanggungjawabkan dan menanggung segala kos baik pulih kawasan,” katanya.
Dua tahun lalu, hampir 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual apabila berlaku pencemaran sungai di Rawang yang memaksa penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang.
Tahun lalu, sebanyak 465 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air disebabkan pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir menyebabkan operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah dihenti tugas.
Isu bekalan air bukan sekadar berlaku di Lembah Klang, malah turut berlaku di negeri-negeri lain termasuk Kelantan. – UTUSAN










