UniSZA kutip RM5.9 juta Dana Wakaf Pendidikan - Utusan Malaysia

UniSZA kutip RM5.9 juta Dana Wakaf Pendidikan

DR. Fadzli Adam (kiri) dan Dr. Ahmad Azrin Adnan menandatangani Memorandum Perjanjian antara UniSZA dengan MAIDAM Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini berjaya mengutip sebanyak RM5.9 juta menerusi Dana Wakaf Pendidikan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Fadzli Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3.3 juta merupakan wakaf tunai selain bertujuan membantu golongan pelajar yang memerlukan.

Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha meningkatkan jumlah kutipan sehingga RM20 juta menerusi sumbangan badan korporat, individu serta potongan gaji bulanan kakitangan universiti.

Katanya, kutipan dana tersebut mula dilancarkan UniSZA dan MAIDAM sejak 2016 lalu.

“Di UniSZA terdapat pelajar daripada keluarga B40 atau asnaf dan bantuan diberikan dalam pelbagai bentuk seperti bantuan komputer riba, biasiswa wakaf serta pengecualian yuran pengajian.

“Selain wakaf pendidikan, UniSZA dan MAIDAM kini di peringkat perbincangan untuk mengadakan wakaf korporat dan wakaf saham dengan penubuhan sebuah syarikat wakaf.

“Hasil wakaf yang dikumpul nanti akan memberi manfaat kepada pelajar serta selari dengan hasrat MAIDAM untuk memperkasa agenda wakaf,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara UniSZA dan MAIDAM di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UniSZA diwakili Dr. Fadzli manakala MAIDAM pula Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.

Sementara itu, Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sistem ekonomi Islam seperti wakaf boleh dilaksanakan dan menyelesaikan masalah ummah di negeri itu.

Sebagai contoh, katanya, wakaf kesihatan melalui pusat hemodialisis di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu boleh membantu golongan asnaf mendapat rawatan dan dijangka beroperasi September depan.

“Kita sedia maklum kos penjagaan kesihatan semakin meningkat dan MAIDAM sendiri membelanjakan RM2 juta setahun untuk pesakit buah pinggang menerima rawatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya