KEMAMAN: Terengganu terus mempertahankan kedudukan terbaiknya empat tahun berturut-turut apabila merekodkan keputusan cemerlang bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan semalam.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Othman berkata, negeri ini mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK), 3.03, mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.79.
Menurut beliau, lebih membanggakan 64 daripada 2,142 calon mendapat keputusan semua A penuh dengan PNGK 4.00 berbanding tahun lalu hanya 55 calon yang memperoleh
semua A penuh.
“Pencapaian calon luar bandar juga di tahap membanggakan apabila menca tatkan PNGK
3.09 berbanding pencapaian calon bandar iaitu 2.96,” kata beliau ketika meng umumkan
Keputusan STPM Terengganu 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail
di sini semalam. Azman berkata, sebanyak 27 daripada 45 buah sekolah mencapai PNGK 3.00 dan ke atas.
“Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu mencatat PNGK 3.52 diikuti SMA Maarif, Besut (3.39) SMK Durian Mas, Dungun (3.34) dan SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman (3.33),” katanya.
Terbaik
Sebagai rekod, Terengganu dinobatkan negeri terbaik kebangsaan dalam STPM pada tahun 2018, 2019 dan 2020.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, pencapaian STPM 2021 secara umumnya sama dengan pencapaian calon 2020.
Ini kerana menurut beliau, purata PNGK nasional untuk STPM 2021 hanya meningkat sebanyak 0.01 mata kepada 2.79 berbanding tahun sebelumnya, iaitu 2.78.
“Perbezaan peningkatan sangat kecil iaitu hanya 0.01 mata dan perbezaan peningkatan ini tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2021 berbanding calon STPM 2020,” kata beliau ketika sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2021 di Batu Caves semalam.
Menurut beliau, sebanyak 874 calon di seluruh negara mendapat PNGK 4.00 dan daripada jumlah tersebut sebanyak 66.82 peratus adalah daripada golongan B40.
“Bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 ini meningkat sebanyak 133 calon, iaitu daripada 741 calon pada tahun 2020 kepada 874 calon pada tahun 2021.
“Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus), dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding tahun 2020,” katanya.
Pada tahun 2020, bilangan calon berdaftar adalah seramai 44,704 dan bilangan calon hadir pula seramai 42,983 dengan PNGK Nasional pada 2.78.
Berdaftar
Manakala pada tahun 2021, bilangan calon berdaftar adalah seramai 42,369 dan bilangan calon yang hadir seramai 40,926 dengan PNGK Nasional pada 2.79.
Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan berkata, peratusan PNGK STPM untuk tahun ini akan membenarkan lebih ramai calon lepasan peperiksaan tersebut diterima masuk ke mana-mana universiti awam.
“Dengan peningkatan peratusan bilangan calon pada PNGK yang disebut ini, maka boleh dijadikan jangkaan, Insya-Allah tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2021 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin berkata, keputusan tahun ini adalah kali pertama tiada perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar sejak tahun 2013 yang mana kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79 dalam STPM 2021.
“Bagi setiap semester pelajar perlu lengkapkan 20 minggu pembelajaran secara bersemuka, pada tahun 2021 kita telah susun tarikh perperiksaan itu selepas lengkap tempoh pembelajaran tersebut, akan ada lagi tempoh untuk pelajar-pelajar mengikuti pembelajaran secara maya.
“Berbanding tahun sebelumnya iaitu 2020, 20 minggu ini termasuk pembelajaran secara bersemuka dan secara maya. Maksud di sini, ada ruang yang panjang untuk pelajar bandar dan luar bandar mempelajari subjek-subjek yang mereka ambil,” jelasnya.- UTUSAN










