PEKAN: Suatu ketika dahulu Tasik Chini di sini merupakan lokasi yang cukup tenang dan damai sehingga dikatakan menjadi tempat dua ekor naga iaitu Seri Pahang dan Seri Gumum, bertapa.
Difahamkan, dua ekor naga tersebut memang berasal dari tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia itu yang menjadi habitat 138 spesies flora dan 300 spesies hidupan bukan akuatik.
Tasik Chini juga pernah merekodkan 144 spesies ikan air tawar hidup dalam tasik berkenaan.
Namun, ketenangan itu kini hilang apabila aktiviti manusia terutama perlombongan dan pembukaan hutan semakin menjadi-jadi tanpa kawalan daripada pihak berkuasa.
Keadaan itu sangat meresahkan kira-kira 1,000 penduduk dari lima perkampungan Orang Asli sekitar Tasik Chini dan wajar diberikan perhatian oleh pihak berkuasa terutama kerajaan negeri.
KHAZANAH BERHARGA
Dengan keluasan 5,026 hektar dan menjadi habitat kepada ratusan jenis flora dan fauna, adalah satu kerugian besar jika semua khazanah bernilai itu hilang begitu sahaja dan tidak dapat dihayati oleh generasi akan datang.
Tok Batin Kampung Gumum, Awang Alok, 82, berkata, air tasik itu kini keruh, malah beberapa spesies ikan air tawar seperti jelawat serta belida tidak lagi terdapat di situ.

Beliau hanya menghela nafas apabila ditanya tentang aduan penduduk kepada pihak berkuasa dan mengakui, sudah penat berurusan dengan pihak berkenaan.
“Kalau mereka (penduduk) mengadu kepada saya pun tidak ada guna, apa kuasa yang saya ada.
Awang berkata, perubahan Tasik Chini sangat mengecewakan dan berharap aktiviti perlombongan yang dihentikan tidak disambung kembali.
“Saya sudah kehilangan kata apabila bercakap tentang Tasik Chini, kami menetap di sini sejak puluhan tahun dan inilah tanah adat kami untuk mencari sumber pendapatan melalui hasil hutan seperti rotan serta ikan.
“Sekarang, semuanya sudah tidak ada, rotan pun sudah tidak ada, tengoklah hutan sana, kawasan bukit banyak yang sudah ‘botak’.
“Jadi di mana kami nak cari lagi. Sama juga dengan ikan, banyak yang sudah hilang, pupus kerana perubahan air tasik,” katanya.
Awang yang dilantik sebagai Tok Batin sejak tahun 1968 berkata, banyak ikan ditemukan mati jika hujan lebat di kawasan itu.
“Paling kuat pun saya (pergi) jumpa Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), kalau dia (Menteri Besar) percayakan saya, baguslah, kalau Menteri Besar buat tidak tahu pun tidak guna juga,” katanya.
Mengulas tentang status Biosfera Rezab (RB) Tasik Chini, Awang berkata, segala-galanya kini telah musnah di tasik semula jadi itu.
“Kalau tarik balik memang rugi, tapi kini segala-galanya telah pun musnah di tasik ini, hendak buat apa lagi?
“Lebih baik pihak berkenaan tarik balik sahaja status berkenaan (RB),” katanya yang sedih melihat keadaan Tasik Chini pada ketika ini.
KEPRIHATINAN PEMANGKU RAJA PAHANG
Namun, keprihatinan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberikan harapan baharu kepada Tasik Chini.
Baginda menitahkan supaya aktiviti perlombongan dihentikan dan kerajaan negeri diminta bertindak lebih agresif untuk memastikan Tasik Chini dapat dipulihkan dan dihijaukan semula.
Tegas baginda, ia perlu dilakukan supaya kegemilangan serta peranan asal tasik itu yang memanfaatkan penduduk sekitar malah fungsi semula jadinya sebagai biosfera akan kekal lestari.
Tengku Hassanal bertitah, untuk itu, pajakan lombong yang telah tamat tempoh hendaklah ditamatkan dan kawasan Tasik Chini perlu dihijaukan dalam masa terdekat.
Baginda juga dalam pada itu turut menyokong langkah moratorium yang telah diambil oleh kerajaan negeri di kawasan tersebut.
“Usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan oleh semua pihak, bukan sahaja kerajaan negeri, malah pelombong dan pelesen sedia ada juga perlu memberikan komitmen dan turut sama dalam menjayakan usaha ini,” titah baginda baru-baru ini.
MISTERI NAGA TETAP JADI PERHATIAN
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, isu kewujudan naga di tasik berkenaan bukan mitos.
Beliau sendiri membuat penyelidikan dan menulis buku bertajuk Seri Pahang Naga Tasik Chini yang diterbitkan pada 1988.
“Kisah naga Tasik Chini ini cerita benar bukan mitos. Tasik Chini suatu ketika dahulu memang ada dua ekor naga iaitu Seri Pahang dan Seri Gumum yang bertapa di tasik ini.
“Seri Pahang keluar dari Tasik Chini pada 1926 untuk menentang naga dari Thailand bernama Seri Kemboja di Teluk Siam, akibat pertempuran itu Seri Pahang maut.
“Seri Gumum pula keluar dari pertapaannya di Tasik Chini pada 1971 untuk bertemu Seri Kemboja di Lautan Hindi. Waktu itu berlaku banjir besar di Pahang yang mana kesan ombaknya sampai ke Jerantut,” katanya di sini semalam.
Aripin berkata, sewaktu bertapa di Tasik Chini, dua naga berkenaan tidak mengganggu hidupan di situ kerana hubungan manusia dengan alam ketika itu cukup harmoni.
“Keadaan Tasik Chini waktu itu aman dan damai serta menjadi lokasi yang indah dan cukup tenang.
“Kini, hubungan manusia dan alam tidak lagi dijaga dan kesannya Tasik Chini yang dahulunya cantik, kini musnah dan menyedihkan.
“Naga Seri Gumum masih hidup dan kini berada di Lautan Hindi, dengan keadaan tasik yang telah musnah, saya percaya Seri Gumum pun enggan kembali ke lokasi asal pertapaannya dahulu.
“Jika kembali pun, tentunya Seri Gumum akan sedih melihat keadaan Tasik Chini ketika ini,” katanya. – UTUSAN










