PETALING JAYA: Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika mahu membolehkan kanak-kanak dilahirkan oleh wanita Malaysia bersuamikan warga asing di luar negara diberi kewarganegaraan automatik.
Ini kerana perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) dalam Bahagian II Jadual Kedua tidak boleh dibaca bersama atau turut merangkumi ‘ibu’ sekali gus memperlihatkan wujud ketidaksamaan antara jantina lelaki dan wanita.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia patut diberikan hak yang sama rata seperti anak dilahirkan di luar negara oleh ayah warga negara ini.
Katanya, tafsiran undang-undang sedia ada secara tidak langsung telah mewujudkan diskriminasi jantina dan bertentangan dengan hak kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan apabila tidak membenarkan kanak-kanak terlibat tidak layak mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik.
“Perkara ini penting kerana apa bezanya antara lelaki dan wanita apabila undang-undang sedia ada dibenarkan untuk kelahiran anak kepada bapa warga Malaysia yang beristerikan wanita asing di luar negara dan tidak pula kepada wanita warga negara ini.
“Seorang anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang warganegara Malaysia patut diberikan hak sama rata seperti anak yang dilahirkan di luar negara oleh ayah yang warganegara Malaysia” katanya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang bersuamikan warga asing tidak layak mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik
Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang dibuat secara keputusan 2-1 apabila Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang mengetuai panel Mahkamah Rayuan bersama-sama Hakim Datuk Azizah Nawawi menyokong keputusan tersebut dan Hakim Datuk S. Nantha Balan menentang.
Dalam keputusan menyokong yang dibacakan secara berasingan oleh Hakim Kamaludin dan Hakim Azizah, perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca bersama atau turut merangkumi ‘ibu’ manakala Hakim Nantha dalam keputusan menentangnya menyatakan, perkataan “bapa” dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) perlu merangkumi ‘ibu’.
Namun Hassan kemudian menjelaskan, proses pindaan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan tidak seperti undang-undang Anti Lompat Parti yang hanya memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat sebaliknya memerlukan kelulusan Majlis Raja-Raja kerana melibatkan aspek kewarganegaraan.
Justeru kata beliau pindaan itu perlu mendapatkan persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum dibawa ke Parlimen untuk kelulusan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.
“Jadi ada dua tahap untuk meminda undang-undang iaitu, persetujuan Raja-Raja Melayu dan kedua adalah Parlimen,” katanya. – UTUSAN










