Perlu rawatan segera selepas disengat ubur-ubur - Utusan Malaysia

Perlu rawatan segera selepas disengat ubur-ubur

WAN Muhammad Aznan Abdullah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Labuh Tukun Tiruan Kuboid Karang (Konservasi) di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Rawatan dan tindakan segera seperti menggunakan cuka di bahagian badan yang terkena sengatan ubur-ubur boleh mengurangkan kesan racun akibat sengatan haiwan laut itu.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, kejadian seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis yang meninggal dunia selepas terkena sengatan ubur-ubur di Pulau Pangkor Isnin lalu juga berkemungkinan tiada tindakan awal diambil selepas kejadian itu.

“Cara tradisinya, apabila terkena sengatan ubur-ubur, memang perlu menggunakan cuka sebelum mendapatkan rawatan lanjut ke klinik. Ia untuk elakkan kesan racun haiwan itu.

“Memang perlu segera letak cuka, rawat dengan segera, sebab itu di taman-taman memang disediakan cuka di jeti-jeti. Kalau curahkan cuka ia mampu mengurangkan kesan racun ubur-ubur itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun dilaporkan meninggal dunia akibat terkena sengatan ubur-ubur semasa mandi di pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, Perak.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa menjerit kesakitan semasa mandi bersama-sama keluarganya di pantai berkenaan.

Ujar beliau, orang awam yang berada berhampiran membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati mangsa terkena sengatan ubur-ubur dan semasa mangsa dibawa naik ke darat, mangsa mula tidak sedarkan diri dan keluarganya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pangkor.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan tersebut kira-kira pukul 7.30 malam.

Sementara itu, mengulas pandangan bahawa bahawa kepupusan penyu belimbing dan perubahan iklim dunia yang semakin panas menyebabkan ledakan ubur-ubur beracun di perairan negara ini, Wan Muhammad Aznan menjelaskan perkara itu juga ada kemungkinannya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kehadiran ubur-ubur adalah disebabkan banyaknya plankton dan organisma yang terhasil daripada lepasan-lepasan industri dari kawasan sekitarnya.

“Ubur-ubur ini kalau tiada pun tidak boleh, kalau ia banyak pun boleh mendatangkan masalah. Kita tahu bahawa ubur-ubur ini merupakan makanan penyu, kalau ia tiada penyu tidak mempunyai makanan dan sebab itu dilaporkan ada penyu yang makan plastik kerana ia seperti ubur-ubur,” katanya lagi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.