P-hailing: Tuntut lain, dapat lain - Utusan Malaysia

P-hailing: Tuntut lain, dapat lain

ZULHELMI MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: 10 perkara yang dituntut penghantar makanan p-hailing berhubung soal kebajikan mereka bukan sahaja tidak dipenuhi, malah dibebankan pula dengan cadangan untuk mewajibkan setiap penghantar makanan mempunyai lesen vokasional iaitu Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

Presiden Persatuan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, cadangan tersebut berbeza dengan apa yang dituntut semasa sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, kelmarin (8 Ogos 2022).

Menurutnya, melalui sesi tersebut sebanyak 10 tuntutan cadangan yang diutarakan demi kebajikan kumpulan tersebut antaranya adalah harga lantai untuk caj penghantaran dan pengambilan pesanan.

“Ia juga termasuk dengan masalah peta digital yang mempunyai jarak berbeza dengan jarak sebenar, itu antara isu penting yang menjadi kegusaran sejak dahulu lagi. Tetapi dalam sidang media sebelum ini lain jadinya dengan apa kami minta.

“Apabila menteri memaklumkan mengenai keperluan lesen GDL ni, banyak penghantar makanan mula bersuara kerana sepatutnya isu utama perlu diselesaikan terlebih dahulu baru kita lihat kepada keperluan syarat tersebut. Ini kita minta lain, dapat benda lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, kumpulan penghantar makanan melancarkan protes mogok selama 24 jam dan menyerahkan memorandum kepada syarikat penghantar makanan yang didakwanya mengekspotitasi hak kumpulan tersebut.

Susulan daripada itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan akan membentangkan tiga Rang Undang-Undang (RUU) pindaan akta pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti p-hailing di negara ini.

Ia membabitkan pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Ka Siong berkata, jika RUU tersebut diluluskan kelak, pihaknya juga akan mewajibkan setiap penunggang p-hailing mempunyai lesen GDL seperti mana Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) oleh pemandu e-hailing.

Sementara itu, wakil daripada kumpulan protes tempoh hari, Mohd Firdaus Abdul Hamid, 30, tidak bersetuju untuk mensyaratkan penghantar makanan memperolehi lessen GDL dan menyelar cadangan pindaan tersebut kerana ia akan lebih menekan komuniti p-hailing.

“Sudahlah syarikat menekan kami dan sekarang pihak kerajaan pun turut sama melakukan sedemikian. Jadi kami memang tidak setuju dengan cadangan pindaan tersebut kerana alasan syarat tersebut ingin dilakukan untuk mengetahui jumlah sebenar p-hailing supaya dapat menjaga kebajikan kami tidak logik.

“Sedangkan komuniti p-hailing sudah diwajibkan untuk mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Jadi dekat situ sahaja kerajaan boleh tahu berapa jumlah sebenar kami ni, kenapa tak tengok di sana sahaja?” soalnya.

Sependapat dengan itu, seorang penghantar makanan, Adi Alzam Roslan, 27, berkata kerajaan seharusnya memberi solusi kepada masalah-masalah sedia ada yang dihadapi kumpulan tersebut.

“Niat kerajaan untuk membantu dalam menjaga kebajikan kami sebagai penunggang p-hailing khususnya penghantar makanan memang kami sokong, tetapi caranya perlu lebih tepat, mensyaratkan lesen GDL bukan solusi sebenar,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya