fbpx

Malaysia ke-130 dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar

TINJAUAN di sebuah tasik bekas kuari yang dipanggil 'Black Lake' oleh penduduk setempat yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram berdekatan Seksyen 5 Bandar Mahkota Cheras di sini, baru-baru ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO

PUTRAJAYA: Sikap jelik sebahagian besar rakyat Malaysia yang suka membuang sampah merata-rata akhirnya meletakkan nama negara ini di tempat ke-130 Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI).

 Malah, sekiranya dilihat perbandingan daripada keseluruhan 180 negara yang dinilai, Malaysia dengan kutipan 130 mata sahaja, menduduki tangga ke-50 sebagai paling kotor di dunia.

EPI lazim digunakan sebagai tanda aras ‘kayu pengukur’ tahap kebersihan sesebuah negara kerana ia menggunakan 40 indikator prestasi dengan melibatkan 11 kategori isu berbeza.

Berdasarkan indeks tahunan itu yang diterbitkan baru-baru ini, di peringkat Asia Tenggara pula Malaysia agak jauh ketinggalan berbanding Singapura di tempat paling atas iaitu tempat ke-44 di dunia.

Begitu juga negara tetangga, Brunei (ke-71), Thailand (ke-108) dan bakal anggota terbaharu ASEAN, Timor Leste pun mampu mengatasi Malaysia apabila berada di kedudukan ke-129.

Kedudukan Malaysia bagaimanapun lebih baik berbanding Laos (ke-149), Kemboja (ke-154), Filipina (ke-158), Indonesia (ke-164), Vietnam (ke-178) dan Myanmar pada tangga ke-179.

Di peringkat Asia pula, Jepun mengungguli carta EPI itu sebagai negara yang terbersih di benua ini iaitu ke-25 dunia, diikuti Singapura, Korea Selatan (ke-63), Brunei dan Taiwan di tangga ke-74.

Sementara negara paling kotor di Asia dipegang oleh India yang juga terkotor di dunia (ke-180), disusuli Myanmar, Vietnam, Bangladesh (ke-177), Pakistan (ke-176) dan Turkiye (ke-172).

Pengukuran EPI yang dilakukan secara telus oleh pasukan penyelidik universiti tersohor dunia, Yale dan Columbia di Amerika Syarikat dengan dibiayai oleh pihak Yayasan McCall MacBain.

Indeks itu yang diusahakan lebih 10 tahun lalu, diwujudkan selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampam 2030 ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2015 lepas.

Setakat ini, 10 buah negara Eropah masih kekal menguasai carta teratas EPI diketuai Denmark, Britain, Finland, Malta, Sweden, Luxembourg, Slovenia, Austria, Switzerland dan Iceland.

 Faktor penyebab kelompok ini dalam senarai terbaik ekoran penekanan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, taraf hidup sosial, indeks kegembiraan rakyat dan trend amalan rasuah.

Semakan Utusan Malaysia mendapati, pengurusan sisa pepejal Malaysia namun berjaya menduduki tangga ke-84 terbaik di dunia dengan kadar kitar semulanya berada di posisi ke-62.

Tidak ketinggalan tahap kualiti udara di Malaysia meraih ke-62 global dengan kadar pertumbuhan gas beracun sulfur dioksida di tempat ke-74 manakala nitrogen oksida pula ke-127. –UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN