PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak, 69, memulakan hukuman penjara 12 tahun bermula semalam selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Keputusan itu menjadikan Najib sebagai bekas perdana menteri Malaysia yang pertama dihukum penjara.
Perbicaraan Najib yang keseluruhannya berlangsung lebih dua tahun menjadi tumpuan seluruh dunia.
Ekoran keputusan tersebut, Ahli Parlimen Pekan itu telah dibawah ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC.
Tengku Maimun semasa membaca penghakiman ringkas menyatakan, pembelaan Ahli Parlimen Pekan itu tidak konsisten dan bertentangan antara satu sama lain.
“Pembelaan mengekalkan dakwaan bahawa Najib tidak pernah mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dikatakan diterima secara salah adalah akibat penyelewengan dana.
Pada keadaan lain, perayu mengekalkan pembelaannya bahawa beliau dianiaya Low Taek Jho (Jho Low), Azlin Alias, Nik Faisal Ariff Kamil dan pegawai-pegawai bank.
Pembelaan
“Perayu juga mengekalkan pembelaannya bahawa wang yang dimasukkan ke adalam akaun peribadi AmIslamic adalah sumbangan derma Arab. Responden (pendakwaan) dari awal lagi mengekalkan hujah mereka bahawa pembelaan perayu tidak konsisten dan bertentangan antara satu sama lain.
“Dalam penghakiman kami (Mahkamah Persekutuan), kami mendapati dapatan Hakim Mahkamah Tinggi telah menilai kesemua bukti dengan betul dan turut mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempercayai naratif dikemukakan oleh pembelaan.
“Oleh itu kami tidak boleh membuat rumusan bahawa dapatan Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan salah atau tidak masuk akal sehingga membolehkan kami masuk campur.
Kami bersetuju bahawa pembelaan tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai sehingga ia tidak mampu menimbulkan sebarang keraguan munasabah,” kata Tengku Maimun.
Oleh itu, selepas meneliti kesemua bukti, hujahan dan lain-lain dokumen berkaitan dengan rekod rayuan, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati rayuan Najib tiada sebarang merit.
“Berdasarkan kesemua bukti dikemukakan, kami mendapati sabitan terhadap perayu selamat untuk dikekalkan. Kami juga mendapati bahawa hukuman dan penalti yang dikenakan terhadap perayu bersesuaian dan tidak berlebihan,” katanya ketika membaca penghakiman ringkas setebal 15 muka surat itu.
Panel hakim
Selain Tengku Maimun, panel hakim turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Merujuk kepada keengganan peguam, Hisyam Teh Poh Teik membuat hujahan dalam rayuan akhir, Tengku Maimun berkata, walaupun telah diminta berulang kali untuk berhujah namun peguam itu menolak.
“Ini bukanlah satu kes yang mana perayu dihalang untuk membuat hujahan. Sebaliknya, peguam (dalam kes ini) telah diminta berulang kali untuk membuat hujahan tetapi peguam enggan melakukannya. Tiada dalam nas undang-undang yang dikemukakan peguam yang menunjukkan apa yang boleh dilakukan sekiranya mahkamah menolak penarikan diri seseorang peguam.
“Dalam erti kata lain, Hisyam masih lagi mempunyai tugas untuk melindungi perayu dengan membuat hujahan. Pada pandangan kami, dalam kes ini, peguam perayu masih hadir dalam rekod dan secara fizikal tetapi berterusan enggan mengemukakan sebarang hujahan walaupun diminta mahkamah,” kata beliau.
Oleh itu, Tengku Maimun berkata, berdasarkan Seksyen 313(2) Kanun Prosedur Jenayah, sekiranya perayu dilihat tidak menyokong rayuannya, mahkamah boleh mengambil kira dan membuat perintah sewajarnya.
“Berdasarkan situasi yang berlaku dalam mahkamah kini adalah saya yang mana perayu dan peguamnya hadir secara fizikal dalam mahkamah tetapi enggan mengambil bahagian dalam prosiding.
“Oleh itu dalam pandangan kami, situasi ini berpadanan bahawa perayu dilihat tidak ingin menyokong rayuannya. Oleh itu mahkamah mempunyai budi bicara untuk menggunakan kuasa yang ada padanya untuk meneruskan rayuan,” kata Tengku Maimun.
Sebelum mengakhiri prosiding, Tengku Maimun turut menolak permohonan Hisyam agar hukuman penjara yang berkuat kuasa semalam ditangguhkan kerana pihak pembelaan akan memfailkan semakan terhadap keputusan mahkamah tersebut.
“Tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu semakan. Waran pengkomitan dikeluarkan,” kata Ketua Hakim Negara sebelum menamatkan prosiding.- UTUSAN










