Kedai Kahwin-Kahwin sediakan pelamin untuk bersanding -

Kedai Kahwin-Kahwin sediakan pelamin untuk bersanding

AZIZAH MOHD. YUSOF dan Rohaizat Mustafa duduk di atas pelamin yang dibina di Kedai Kahwin-Kahwin di hadapan Kompleks Pejabat Kadi dan Mahkamah Syariah Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Mengambil kedudukan premisnya yang berhadapan dengan Kompleks Pejabat Kadi dan Mahkamah Syariah Pontian, ramai yang mengenali kedai ‘Kedai Kahwin-Kahwin’ kerana keunikannya.

Ini kerana terdapat pelamin yang disediakan oleh pemilik kedai makan berkenaan bagi memberikan kemudahan kepada pasangan yang baru bernikah mengabadikan kenangan mereka.

Menurut pemiliknya, Azizah Mohd. Yusof, 49, pada setiap Ahad dan Khamis terdapat pasangan pengantin yang bernikah di Pejabat Agama Pontian yang akan datang ke kedainya selepas majlis tersebut.

Pada mulanya, pelamin yang disediakan di kedai yang diberi nama Ai-i Cafe itu hanya sekadar ‘suka-suka,’ tetapi, lama-kelamaan dan atas permintaan pasangan pengantin, pelamin tersebut dibesar dan dihias dengan dekorasi yang lebih cantik.

“Suami saya, Rohaizat Mustafa, 53, membuat sendiri serta menghias pelamin termasuk dengan memasang permaidani ringkas seperti mana pelamin pengantin yang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Azizah sejak dibuka pada Mac lalu, terdapat 10 hingga 20 pasangan pengantin termasuk dari Melaka yang bergambar di pelamin tersebut sebelum mereka pulang selepas bernikah di pejabat kadi berkenaan.

“Kita pun tahu, sesetengah pasangan pengantin tidak dapat mengadakan majlis persandingan di rumah sendiri dan kami di ‘Kedai Kahwin-Kahwin’ sedia untuk menggembirakan pasangan ini,” ujarnya

Ditanya sama ada pemasangan pelamin tersebut sebagai strategi pemasaran, dia tidak menolak pandangan tersebut kerana belum ada kedai makanan di Pontian menawarkan ruangan seperti itu.

Dengan bantuan sembilan pekerja termasuk ahli keluarganya, ‘Kedai Kahwin-Kahwin’ mampu meraih jualan antara RM20,000- RM25,000 sebulan yang beroperasi enam hari seminggu.

Azizah mengakui kegagalan dalam perniagaan menjual makanan selama tiga tahun dengan ‘menumpang’ di premis orang lain menjadi pendorong baginya untuk mengubah nasib keluarga.

Pengalaman dan kemahiran memasak yang dimiliki serta bantuan suaminya menjadi pembakar semangat bagi Azizah untuk membuka kedai sendiri dengan bermodal duit simpanan selama ini.

“Kami menyewa sebuah tapak rumah yang belum dibina dengan bayaran RM1,000 sebulan serta mengeluarkan modal sebanyak RM20,000 bagi membina kedai ini selain peralatan dan sebagainya,” tambahnya.

Dia terpaksa bekerja keras bagi mengembalikan modal yang dilaburkan dengan menjual juadah sarapan serta makanan panas dan ikan bakar pada malamnya.

Kedai Kahwin-Kahwin turut menjual sate serta roti canai bagi mempelbagaikan menu serta menyediakan tapak perniagaan dengan bayaran sewa RM10 sehari sejak dibuka pada Mac lalu. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya