Jualan murah, NS peruntuk RM5 juta - Utusan Malaysia

Jualan murah, NS peruntuk RM5 juta

AMINUDDIN Harun sewaktu berucap menggulung usul mengenai kenaikan kos sara hidup dan inflasi dihadapi rakyat semasa Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan peruntukan khas RM5 juta bagi menjayakan inisiatif Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin di seluruh daerah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif bermula 1 September hingga 31 Disember 2022 itu adalah tanda keperihatinan kerajaan negeri terhadap nasib menimpa rakyat, akibat kenaikan kos sara hidup.

Menurut beliau, inisiatif tersebut akan menggembleng kerjasama dengan semua pihak sama ada pengeluar, penternak, petani dan agensi kerajaan, supaya dapat menjual barangan asas rakyat pada harga ladang sekali gus menghapuskan elemen orang tengah.

“Item dijual di bawah inisiatif ini antaranya ayam, daging, telur, minyak masak, dan sayur-sayuran pada harga  lebih murah  20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran. 

“Inisiatif ini adalah strategi serampang dua mata yang akan memberi impak positif yang mana akan dinikmati bukan sahaja oleh rakyat sebagai pembeli, malah juga pengeluar, penternak dan usahawan tani juga terlibat secara langsung dalam membekalkan produk-produk ini,” katanya.

Aminuddin berkata demikian ketika menggulung usul mengenai kenaikan kos sara hidup dan inflasi dihadapi rakyat semasa Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 hari ini.

Dibentangkan

Usul berkenaan telah dibentangkan oleh Loke Siew Fook (PH-Chennah) yang turut menyeru kerajaan negeri membekukan sebarang kenaikan kadar cukai, sewa, caj dan apa-apa bayaran di bawah kawalan pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri sehingga masalah inflasi dapat dikawal.

Selepas dibahaskan oleh 18 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak semalam, usul berkenaan dipersetujui oleh semua ahli dewan yang hadir pada hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) ketika membahaskan usul tersebut berpandangan sewajarnya usul tersebut dibawa ke dalam DUN dan kerajaan negeri perlu menjalankan tanggungjawab ketika rakyat sedang menghadapi kesulitan hidup.

Bagaimanapun, beliau yang juga ketua pembangkang berpandangan, kerajaan negeri memerlukan satu dasar dalam berhadapan isu dihadapi rakyat tersebut bagi jangka masa panjang.

“Untuk membekukan kenaikan sewa dan sebagainya, itu sementara, berapa lama kita boleh buat begitu kerana kerajaan memerlukan pendapatan  jika tidak sukar untuk kita bangunkan negeri.

“Bagi jangka masa panjang, kita kena cari cara, mesti gubal dan ubah dasar, untuk mengekalkan keupayaan. Usaha Negeri ini mesti mesra peniaga dan menggalakkan lebih ramai meniaga di sini. Dasar perlu digubal mengikut zaman (bertepatan dengan keperluan semasa),” katanya.

Persidangan DUN  Negeri Sembilan ditangguhkan pada tarikh yang akan diberitahu kelak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.