Isteri buntu suami tiga kali diserang angin ahmar - Utusan Malaysia

Isteri buntu suami tiga kali diserang angin ahmar

HASMAH Yaakub menguruskan suaminya yang terlantar akibat diserang angin ahmar di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang isteri hilang tempat bergantung dan sumber kewangan apabila suami yang aktif bekerja sebelum ini diserang angin ahmar sejak setahun lalu.

Lebih menyedihkan lagi, ini merupakan kali ketiga Mat Nazer Mohd. Nor, 54, yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2 di sini, diserang penyakit berkenaan.

Situasi itu sekali gus menyaksikan, Mat Nazer yang sebelum ini menjadi tonggak keluarga hanya mampu terlantar di atas katil dan dijaga sepenuhnya oleh isterinya, Hasmah Yaakub, 56.

Hasmah berkata, kali pertama suaminya terkena serangan angin ahmar ketika berumur 33 tahun dan serangan kali kedua selang lima tahun kemudian.

Manakala, tambahnya, serangan kali ketiga pada 2021 lalu menyebabkan suaminya hilang upaya untuk bekerja.

“Ketika terkena serangan kali pertama, saya membawa suami berjumpa doktor dan membuat rawatan terapi sehinggalah dia boleh berjalan.

“Selepas itu, kali kedua suami terkena ketika menebas dan ketiga ketika sedang tidur sehingga dia tidak boleh berjalan serta tubuh bahagian kirinya tidak mampu bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Hasmah memberitahu, sejak suaminya sakit, dia dan keluarga bergantung hidup atas sumbangan keluar­ga dan masyarakat setempat serta bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Katanya, bantuan tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan membeli susu
dan lampin pakai buang suaminya serta tiga anak yang masih bersekolah.

“Suami memerlukan bantuan saya untuk menjalani rutin seharian seperti mandi, menukar lampin, makan dan minum kerana dia sudah tidak dapat menguruskan diri sendiri.

“Selain keadaan kesihatan suami, saya kini dirundung bimbang tidak mampu memenuhi keperluan persekolahan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah menengah,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu menghulur sumbangan kepada Hasmah, boleh menghubungi talian 016-9650105 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor 03020-41-00009093-1. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.