fbpx

Ibu sebak naik pentas terima ijazah arwah anak

NOR FARIZA Ismail menerima skrol daripada Abi Musa Asaari Mohamed Nor sebagai mewakili arwah anaknya, Siti Amira Syuhada Alias dalam majlis konvokesyen UMP di UMP Kampus Gambang di Kuantan, Pahang.

KUANTAN: “Berat hati hendak pergi ke majlis konvokesyen ini dan hendak duduk rumah saja bila teringat arwah.

“Namun setelah dipujuk anak, saya tabahkan hati juga untuk datang,” demikian kata Nor Fariza Ismail, ibu penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP), Siti Amira Syuhada Alias yang meninggal dunia pada 4 Februari lalu akibat jangkitan paru-paru.

Menurut Fariza, masih terngiang-ngiang suara Allahyarhamah Siti Amira Syuhada yang ingin cepat sembuh dan menghadiri majlis konvokesyennya.

“Rupa-rupanya impiannya tidak kesampaian untuk naik pentas menerima skrol ini,” katanya selepas menerima skrol anaknya yang disampaikan Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dr. Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 di UMP Kampus Gambang.

Nor Fariza yang merupakan suri rumah berkata, kehilangan Siti Amira Syuhada merupakan kejutan yang cukup besar buatnya selepas kehilangan suaminya, Alias Yusof pada bulan Oktober tahun lalu akibat Covid-19.

Baginya, kehilangan dua insan tersayang dalam waktu yang terdekat terlalu menyedihkan.

“Tidak lama selepas arwah suami meninggal, Siti Amira Syuhada sering tidak sihat sehinggakan tidak dapat menelan makanan dengan baik.

“Pada awalnya, saya sangka arwah demam kerana rindu kehilangan ayahnya. Namun semakin hari, keadaannya semakin merosot sehingga terbaring dan tidak dapat urus diri tanpa bantuan,” katanya.

Katanya, pernah suatu ketika, arwah tersedar ketika sakit dan mengatakan dia perlu cepat sembuh agar dapat menghadiri majlis konvokesyen.

“Kami semua terkejut dan menyangka arwah akan sembuh, tapi ini semua ketentuan Allah SWT, saya reda,” katanya.

Walaupun anaknya sudah tiada dan tidak menikmati detik-detik konvokesyen ini, tetapi hakikatnya beliau amat terharu dengan kejayaannya meraih Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dengan Kepujian.

Kakak Siti Amirah Syuhada, Maidatul Nadia berkata, dia ada terbaca perbualan arwah dalam aplikasi WhatApps bersama rakannya yang mengatakan tidak lagi teruja hadir ke majlis konvokesyen apabila mengenangkan arwah ayah yang tidak sempat menyaksikan kejayaannya.

“Sedih juga bila mengenangkan, tetapi saya perlu lebih kuat untuk terus menjaga ibu dan adik. Kami akan simpan semua ini sebagai kenangan dan menjadi dorongan kepada adik bongsu yang masih belajar.

“Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan arwah sepanjang pengajiannya di UMP,” katanya yang hadir bersama adik-beradik lain. –UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!