Hidupkan semula PLKN tidak perlu kos besar - Utusan Malaysia

Hidupkan semula PLKN tidak perlu kos besar

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) wajar dihidupkan semula melalui Bajet 2023 kerana program itu tidak memerlukan peruntukan besar untuk diteruskan malah kos operasinya boleh disemak semula.

Gesaan ini mengambil kira kerajaan telah membelanjakan RM8.43 bilion untuk operasi PLKN sejak dimulakan pada 2004, dengan 43 peratus perbelanjaan digunakan untuk sewaan kem latihan di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, program itu mungkin boleh dimulakan semula secara kecil-kecilan sebelum diperluaskan ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, menurut beliau, perbelanjaan dan kos operasi program PLKN yang sebelum ini berjalan lima tahun wajar dinilai semula.

“Bukan nak kata yang dulu PLKN belanja terlampau banyak, tetapi dulu PLKN terlampau mudah berbelanja. Ada beberapa perkara ditanggung terlalu banyak, contohnya makan sampai lima kali sehari.

“Banyak perkara boleh dinilai semula, jadi, kerajaan boleh menjimatkan perbelanjaan. Jadi, jangan kata takut mahal kalau buat balik PLKN, kita mula perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, kos tidak akan mahal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Modul

Menurut beliau, untuk menghidupkan semula PLKN dalam masa terdekat tidak susah kerana modul dahulu tersedia malah barisan kejurulatihan sedia berkhidmat semula.

“Kita ada ramai bekas pelatih, dah nak dekat sejuta orang, mereka ada persahabatan yang kuat sehingga membuat pertemuan semula baru-baru ini di Pulau Pinang.

“Kita juga ada ramai bekas jurulatih yang bekerja di pelbagai tempat dan kepakaran mereka masih bagus dan boleh digunakan. Modul juga sudah ada dan masih boleh diguna pakai kerana ia disediakan oleh golongan profesional dan pihak universiti-universiti tempatan,” katanya.

Justeru, beliau berharap PLKN dapat digerakkan semula memandangkan Akta PLKN 2003 juga belum dimansuhkan.

“Tengah tahun lepas, saya dijemput oleh Kementerian Pertahanan untuk menyertai libat urus dan memberikan pandangan mengenai PLKN. Akhir tahun lepas juga ada libat urus, jadi kerajaan sememangnya bercita-cita untuk mengembalikan semula PLKN cuma masanya belum tiba. Insya-Allah, PLKN akan kembali,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan pada 2020 bercadang melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan terdahulu dan akan menyediakan memorandum Jemaah Menteri untuk diluluskan Kabinet.

Sebelum ini, jurulatih PLKN yang ditamatkan kontrak ditempatkan di pelbagai agensi dan kementerian bagi tempoh setahun mulai 2019 hingga 2020, melibatkan 1,394 bekas pegawai.

Sepanjang tempoh 14 tahun, seramai 885,956 individu menyertai PLKN, dengan 356,411 bekas pelatih menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara bagi memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×