fbpx

Funding Societies lancar BizFund khusus untuk PKS

PETALING JAYA: Funding Societies melancarkan BizFund, pembiayaan berjangka yang dipertingkatkan khusus untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

BizFund, produk pembiayaan berjangka tanpa cagaran, menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 kepada PKS tempatan dengan tempoh bayaran balik sehingga 18 bulan. 

Proses permohonannya yang mudah, tidak merumitkan dan pantas boleh dilakukan menerusi platform dalam talian Funding Societies. 

Produk itu ditawarkan untuk PKS yang telah beroperasi sekurang-kurangnya 12 bulan, dengan minimum 30 peratus pegangan saham tempatan oleh rakyat Malaysia.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, BizFund memenuhi keperluan PKS yang mempunyai pendapatan tahunan RM1 juta ke atas, yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dan perlu mengumpulkan modal segera yang secukupnya bagi menguruskan aliran tunai. 

“Mereka boleh memanfaatkan kemudahan pinjaman berjangka tanpa cagaran BizFund, dengan proses penghantaran permohonan yang mudah dengan pembayaran pembiayaan sepantas tujuh hari bagi meningkatkan modal untuk menjana operasi dan pelan pengembangan perniagaan mereka yang sensitif dari segi masa,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, BizFund dibangunkan bagi menangani cabaran-cabaran yang sering dialami oleh PKS dalam mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Katanya, dengan ciri-ciri produk seperti tiada keperluan cagaran serta pembayaran pembiayaan yang pantas, PKS boleh memanfaatkan potensi pemulihan pasaran yang sebaliknya akan terhalang disebabkan oleh kurang modal perniagaan. 

“Ekonomi domestik Malaysia diunjurkan berkembang antara 5.3 hingga 6.3 peratus; selepas dua tahun yang serba mencabar ditambah pula dengan kelewatan pembayaran kerana langkah penjimatan oleh para pelanggan dan gangguan rantaian bekalan, akses kepada dana adalah penting untuk PKS mendapatkan manfaat daripada pertumbuhan tersebut serta menyumbang ke arahnya.

“Funding Societies, yang sentiasa berpegang teguh kepada misi kami untuk membolehkan pertumbuhan PKS ASEAN menerusi perkhidmatan kewangan digital, akan terus berusaha mengenal pasti lebih peluang khusus bagi memenuhi keperluan PKS di dalam setiap pasaran di mana kami beroperasi,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!