IPOH: “Saya terpaksa buat pelbagai kerja untuk bantu keluarga dan cari duit lebih”.
Itu alasan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang mengambil upah bekerja di kebun sawit dan juga membantu menyusun barang di sebuah kedai runcit di Batu Gajah dekat sini.
Menurut pelajar itu yang mahu dikenali sebagai Ehsan, ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dua tahun lalu dia lebih berminat untuk bekerja mencari duit bagi membantu keluarganya.
Katanya, bapanya bekerja di kebun sawit dan terjejas ketika PKP manakala ibunya pula hanya suri rumah.
“Sejak PKP, saya tidak dapat duit belanja sekolah, jadi saya mula bekerja sejak tahun 2021.
“Apabila tak dapat duit saku saya tiada duit untuk membeli apa-apa barang yang saya mahu.
“Sewaktu PKP, kedai runcit sahaja yang dibenarkan beroperasi, saya terpaksa bekerja di kedai runcit untuk membantu keluarga,” kata anak kedua daripada dua beradik itu kepada Utusan Malaysia.
Ehsan adalah antara sebahagian daripada ribuan kanak-kanak yang terpaksa membahagikan masa senggangnya untuk bekerja mencari upah bagi membantu meringankan beban keluarga selain digunakan bagi menampung perbelanjaan sendiri.
Remaja itu mungkin bernasib baik kerana masih bersekolah berbanding rakan senasib yang mungkin terpaksa menamatkan persekolahan lebih awal kerana bekerja ekoran masalah kemiskinan keluarga.
Tiada data rasmi tentang kanak-kanak di bawah 15 tahun yang bekerja tetapi mengikut Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat sebanyak 717,600 remaja berusia antara usia 15-19 tahun yang bekerja.
21 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia perlu segera melakukan pindaan ke atas tiga akta berkaitan kanak-kanak dan pekerjaan bagi mengatasi isu 483,000 kanak-kanak yang bekerja seawal usia 15 tahun.
Akta-akta tersebut ialah Akta Pendidikan 1996, Akta Pekerja 1955 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Ketiga-tiga akta itu perlu dipinda kerana banyak kelemahan terutama apabila membenarkan kanak-kanak bekerja pada usia terlalu muda sekali gus menyekat mereka daripada mendapat pendidikan lebih tinggi yang lebih menjamin masa depan.
Sementara itu di Kangar, Perlis, seorang remaja berusia 16 tahun yang enggan dikenali berkata, dia bekerja di sebuah kedai makan di sini pada sebelah malam dengan pendapatan sekitar RM20 ke RM25.
Katanya, pendapatan yang diperoleh itu membantu meringankan beban ibu bapanya yang hanya melakukan kerja-kerja kampung.
Dia bekerja separuh masa sejak berusia 14 tahun memandangkan mereka bukan dalam kalangan keluarga senang.
“Bagaimanapun, fokus saya dalam pembelajaran tidak dilupakan dan saya membahagikan masa mengulang kaji pelajaran khususnya pada tengah malam selepas pulang kerja di kedai makan.
“Dengan pendapatan ini sekurangnya saya mempunyai wang belanja sendiri dan tidak menyusahkan ibu bapa,” katanya. – UTUSAN










