Bangga bawa ibu, ayah naik pentas ambil keputusan STPM - Utusan Malaysia

Bangga bawa ibu, ayah naik pentas ambil keputusan STPM

NUR RAIDAH Abdul Majid dicium kedua ibu bapanya ketika meraikan kejayaannya muncul antara pelajar cemerlang STPM 2021 peringkat negeri Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Alhamdulillah, hasrat saya bawa ibu dan ayah naik ke pentas tercapai”.

Demikian luahan hati pelajar cemerlang, Nur Raidah Abdul Majid, 20, selepas diumumkan antara 33 calon di Melaka yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021.

Katanya, hasrat tersebut telah lama dipendam memandangkan keputusan dua peperiksaan besar sebelum ini iaitu Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seperti disasarkan.

“Ibu, Shehnorhayati Borhan dan ayah, Abdul Majid Amat adalah sumber inspirasi dan saya bersyukur kami bertiga dapat juga naik ke pentas bersama untuk mengambil keputusan. Saya tahu mereka kecewa apabila saya tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebelum ini.

“Oleh sebab itu, saya rasa (kejayaan) ini sebagai balasan terhadap pengorbanan mereka daripada segi tenaga dan wang ringgit. Saya hadiahkan keputusan cemerlang ini kepada ibu dan ayah.

“Pada masa sama, menjadi anak bongsu membuatkan saya terus berusaha untuk menggembirakan mereka. Membawa mereka ke atas pentas menjadi tanggungjawab besar kepada saya untuk membanggakan mereka buat kali terakhir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi STPM 2021 di sini, semalam.

Tambah Nur Raidah, kejayaan tersebut tidak datang dengan mudah apabila terpaksa belajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung itu, pelaksanaan PKP menyebabkan sesi persekolahan tidak dapat dijalankan seperti biasa, selain kelas yang diadakan secara dalam talian sering terganggu akibat masalah internet.

“Pembelajaran masa PKP sangat terganggu kerana terpaksa belajar di rumah dengan keadaan persekitaran yang agak bising. Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)  sangat mencabar kerana liputan jalur lebar yang tidak stabil sekaligus membuatkan fokus saya terganggu.

“Saya terpaksa kejar balik apa yang cikgu sudah ajar kepada rakan-rakan. Berkat doa ibu bapa, guru dan rakan membuatkan saya tekun belajar dan capai kejayaan dalam STPM,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya