PUTRAJAYA: Sejumlah 34,786 warga asing dikenakan tindakan NTL iaitu tidak dibenarkan mendarat kerana didapati melanggat syarat kemasukan ke negara ini sejak Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu 4,207 diminta untuk pulang semula ke negara mereka sebelum sempat memasuki Malaysia melibatkan 1,856 dari lima negara utama iaitu Bangladesh (732); Pakistan (497); India (412); China (112); Vietnam (103).
Menurut beliau, kesemua mereka ini disenarai hitam memasuki negara ini selama-lamanya.
“Hasil siasatan kami mendapati, mereka ini sebenarnya tidak datang untuk melancong, sebaliknya mahu bekerja secara tidak sah selain tidak ada tempat tinggal dan wang saku mencukupi.
“Kesemua pelancong asing itu dilaporkan telah melanggar pas sosial diberikan seterusnya dikenakan perintah NTL dan dihantar pulang ke negara masing-masing sebelum sempat memasuki Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus JIM bersama agensi pelancongan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.
Berhubung satu video yang tular di aplikasi TikTok yang mendakwa terdapat diskriminasi kepada pelancong warga India ketika pemeriksaan Imigresen, beliau menegaskan, tidak ada sebarang tindakan seumpama itu dikenakan.
Sebaliknya, kata beliau, JIM memberikan perkhidmatan baik kepada pelancong luar negara, namun apa yang berlaku sekarang ini terdapat beberapa kes kejadian warga asing apabila sampai KLIA mereka tidak terus ke kaunter pemeriksaan Imigresen.
Beliau menjelaskan, hasil siasatan mendapati, mereka sebenarnya bukan datang untuk melancong tetapi dengan niat untuk bekerja secara tidak sah selain tidak tahu tempat tinggal, tidak ada wang saku dan mereka mengakui datang ke negara ini bukan tujuan melancong, sebaliknya mahu mencari pekerjaan.
“Ini melanggar syarat kemasukan pas sosial. Mereka tidak terus ke kaunter Imigresen sebaliknya berlegar untuk tempoh dua atau tiga jam, dalam kes warga India ini mereka bersembunyi di bilik air dan tempat-tempat awam.
“Imigresen menerima maklumat awal penerbangan. Kami tahu dalam penerbangan tertentu berapa ramai warga asing dan selepas pesawat mendarat dalam tempoh 3 hingga 5 jam tak datang ke kaunter, pegawai Imigresen pergi mencari mereka ini dan bila jumpa mereka akan dibawa ke pejabat operasi untuk siasat,” katanya. – UTUSAN










