PETALING JAYA: Wisma Putra tidak boleh berdiam diri ketika Malaysia menghadapi isu dengan Indonesia yang dianggap penting dalam menjaga hubungan kedua-dua negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, sebaliknya kementerian berkenaan sepatutnya segera membuka saluran diplomasi dan perbincangan dua hala bagi mengelakkan hubungan kedua-dua negara terjejas.
Katanya, isu yang berlaku antara Malaysia dan Indonesia perlu dijelaskan kepada umum supaya tidak timbul sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Apa yang berlaku ini melibatkan tiga aspek iaitu aspek konvensyen menghormati perjanjian persefahaman (MoU), konvensyen berkaitan persahabatan dan kerjasama dalam ASEAN dan aspek kerja rumah yang harus dilaksanakan menerusi Wisma Putra.
“Jadi ketiga-tiga aspek ini harus diperanankan oleh Wisma Putra. Wisma Putra juga perlu menasihatkan Kabinet supaya tidak timbul prasangka dan juga perkara-perkara yang boleh merenggangkan persahabatan antara kedua-dua negara. Ini sangat mustahak.
“Namun, kalau mengambil pengalaman yang kami ada di Kementerian Luar dahulu, kerja rumah itu biasanya perlu diumumkan kepada khalayak supaya tiada apa-apa hal meruncing yang timbul,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Indonesia tidak kisah jika Malaysia membuat keputusan membatalkan MoU pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 April lalu.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, terlalu banyak syarat yang masih gagal dipenuhi negara ini meskipun sudah berjanji untuk mematuhinya.
Dalam pada itu, Rais yang juga Speaker Dewan Negara berpendapat, Hermono tidak sewajarnya mengeluarkan pendapat peribadi sebelum Jakarta mengambil maklum tentang hal itu.
Namun, katanya, apa yang lebih menghairankan adalah Wisma Putra tidak membuat sebarang ulasan, memanggil duta terbabit berunding atau melalui asas nilai diplomatik seperti mana kebiasaan.
“Sekarang didapati dDutanya mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan seolah MoU itu telah dibanteras atau telah dicabul, jadi hal seperti ini tidak harus timbul dalam suasana Wisma Putra memainkan peranannya.
“Apabila Duta itu sudah kritik kerajaan, ini perkara amat berat, jadi sebelum buruk, eloklah susur dulu (melalui saluran diplomatik) dan Pak Duta diharap beliau tidak begitu celupar.
“(Namun), seseorang Menteri Luar faham kerjanya, maka Duta itu seharus dipanggil atau Duta itu boleh mengesyorkan pandangannya serta jangan dikeluarkan perkara itu sebagai isu politik,” jelasnya.
Sementara itu di Jakarta, Kementerian Luar Indonesia menegaskan, keputusan yang dibuat untuk membekukan kemasukan pekerja negara ini ke Malaysia merupakan langkah tepat.
Hal ini kerana, Indonesia mendakwa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Malaysia tidak mematuhi syarat ditetapkan, termasuk memansuhkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS).
Pengarah Perlindungan Rakyat Indonesia dan Badan Perundangan Indonesia, Judha Nugraha berkata, MOS merupakan mekanisme pengambilan pekerja di luar memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini.
“Sistem itu amat bercanggah dengan MoU yang dipersetujui.
“MOS juga menyebabkan golongan pekerja Indonesia lebih mudah menjadi mangsa eksploitasi seperti buruh paksa kerana mereka tidak diberi latihan atau panduan yang sewajarnya sebelum dihantar ke Malaysia.
“Mekanisme itu bertentangan dengan Undang-Undang No.18 tahun 2017 mengenai pekerja migran,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Sebanyak 15,000 hingga 20,000 permohonan kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia sudah diterima setakat ini dengan 10,000 permohonan melibatkan sektor perladangan dan pembuatan.
Dalam pada itu, Judha berharap ada hasil positif hasil perbincangan antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia mengenai isu yang timbul.
“Sudah tentu kami mengharapkan yang terbaik untuk rakyat kami dan juga ingin menjaga hubungan baik dengan Malaysia.
“Hubungan Indonesia dan Malaysia sudah lama terjalin, maka kami tidak mahu isu seperti ini menjejaskan diplomasi itu,” ujarnya. – UTUSAN










