PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) diminta segera membuat keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO sama ada diluluskan atau sebaliknya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, ini kerana tempoh masa yang lama diambil itu menimbulkan persoalan sama ada permohonan parti itu bermasalah atau sebaliknya.
Walhal, katanya, UMNO sudah melakukan pindaan mengikut peraturan yang tidak memungkinkan berlakunya masalah dalam permohonan itu.
“Isu berkaitan RoS saya tak tahu kenapa ambil lama sangat, padahal kita sudah bagi habis semua, jadi apa masalahnya? Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) sudah buat dan semua ikut peraturan.
“Kalau sudah jelas semua dan jika lulus, beritahu lulus. Kalau tak setuju dan mahu dokumen (tambahan), minta dan UMNO akan bagi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
RoS sebelum ini memaklumkan keputusan mengenai pindaan perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan itu adalah pada 16 Julai.
Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Dalam pada itu, Othman menjelaskan, isu UMNO takut untuk mengadakan pemilihan juga tidak perlu dibangkitkan kerana parti itu sudah beberapa kali melakukan perkara itu.
Sebaliknya beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti itu antara perkara yang ditakuti sekiranya pemilihan dalam masa PRU yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Kalau terpaksa buat pemilihan pun, UMNO akan mengikut peraturan. UMNO bukan takut adakan pemilihan tetapi takut perpecahan.
“Sebab itu Veteran amat mengharapkan supaya benda ini (permohonan pindaan perlembagaan) dapat diselesaikan dan hadap PRU dulu, lepas (PRU) dengan tenang,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, UMNO perlu akur terhadap apa sahaja keputusan yang akan diputuskan jabatan itu.
Bagaimanapun katanya, beliau tetap mengharapkan agar permohonan itu dapat diluluskan RoS. – UTUSAN










