PETALING JAYA: Lima kepemimpinan tertinggi UMNO belum duduk berbincang tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun ketetapan itu dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.
Sumber tertinggi UMNO memaklumkan kepada Utusan Malaysia, selepas lima bulan berlalu, kelima-lima pemimpin terlibat belum duduk semeja sekali gus menunjukkan tiada ketetapan oleh parti itu berhubung tarikh pilihan raya umum (PRU).
“Ketetapan supaya lima jawatan tinggi UMNO membincangkan tarikh pembubaran Parlimen dibuat pada Mac lalu, namun sekarang sudah Julai dan belum satu pun perbincangan telah dibuat,” katanya.
Lima pimpinan tertinggi UMNO itu ialah Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata, keputusan berkaitan cadangan membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi UMNO.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, berkata, ia juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.
Bagaimanapun Ahmad Zahid ketika Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada bulan lalu memaklumkan lima jawatan tertinggi UMNO telah banyak mengadakan pertemuan berhubung tarikh PRU-15, namun beliau tidak mendedahkan butiran dan hasil perbincangan tersebut.
Ketetapan agar lima pimpinan tertinggi UMNO membincangkan tarikh PRU15 setelah pemimpin dan akar umbi parti itu mendesak agar ia diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Hal ini kerana lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19. – UTUSAN










