PUTRAJAYA: Penggiat filem tempatan perlu memberi lebih tumpuan kepada kisah sejarah serta perjuangan masa lalu dan masa kini bagi memastikan industri perfileman tempatan berkembang dengan baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau mahu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberi tumpuan kepada pembangunan industri filem yang mencerminkan budaya dan sikap sebenar masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, FINAS juga boleh mengenal pasti sejarah kritikal dan perjuangan pejuang masa lalu yang boleh diangkat sebagai bahan untuk dijadikan filem.
“Ia akan berupaya mencerminkan keadaan sebenar masyarakat dan warganegara Malaysia dari sudut sejarah, perjuangan, sama ada pada zaman pentadbiran sendiri, penjajah dan komunis.
“Apabila semua maklumat sudah dikumpul, ia boleh dijadikan bahan untuk difilemkan, sekali gus mendatangkan keuntungan besar seperti filem Mat Kilau yang mencecah kutipan pecah panggung lebih RM80 juta,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Wan Junaidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim.
Katanya, beliau juga mahu supaya syarikat-syarikat produksi, pihak berkepentingan dan pemain industri dibantu untuk terus berkembang khususnya membabitkan kemudahan prasarana, bantuan kerajaan dan perbankan.
Wan Junaidi berkata, FINAS digesa memberi maklumat secara terperinci keperluan industri perfileman, sama ada pembangunan dalam negara mahu pun menarik pelaburan luar negara.
Menurutnya, Malaysia boleh mencontohi inisiatif dilakukan Amerika Syarikat yang menyediakan sumber kewangan pelbagai bagi memudahkan pembikin filem mendapatkan modal untuk berkarya sekali gus tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan.
“Saya menyeru pihak korporat untuk sama-sama membangunkan dan menyumbang bagi mengembangkan industri seni tanah air.
“Kerajaan juga wajar memikirkan pengecualian cukai kepada pihak luar bagi menarik lebih banyak produksi antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran utama dan pelaburan prasarana,” katanya. –UTUSAN ONLINE