Syarikat pembungkusan rayu tambahan kuota 100 tan minyak masak

Syarikat pembungkusan rayu tambahan kuota 100 tan minyak masak

minyak masak
ZAMZANI Harun (kiri) memantau proses pembungkusan bekalan minyak subsidi di kilang minyak masak di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebuah syarikat pembungkusan minyak masak peket yang dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Bandar Utama di sini, memohon kerajaan menambah jumlah kuota sebanyak 100 tan metrik bahan subsidi tersebut kepada pengilang.

Pengurus Syarikat Minyak Masak Cap Cincin, Zamzani Harun, 52, berkata, permintaan dalam kalangan penduduk luar bandar ketika ini meningkat dua kali ganda selepas kerajaan memansuhkan subsidi minyak botol bermula 1 Julai lalu.

Katanya, syarikatnya ketika ini menerima bekalan sebanyak 100 tan metrik sebulan dan jumlah tersebut dijangka tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna di daerah ini.

“Saya sangat berharap kerajaan terutamanya KPDNHEP dapat menambah lagi 100 tan metrik bekalan. Pertambahan jumlah itu menjadikan pihak pengilang menerima sebanyak 200 tan metrik bekalan sebulan.

“Ramai pengguna beralih menggunakan minyak subsidi kerana harganya lebih murah berbanding minyak botol. Kita juga mendapat permintaan tinggi daripada pemborong dan peruncit berlesen yang akan menjual minyak masak kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui pemberita di kilangnya semalam.

Zamzani memberitahu, selain melaksanakan tugasan pembungkusan, pengilang berdepan cabaran memastikan bekalan minyak peket diagihkan mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, syarikatnya kini mempunyai seramai 114 pemborong dan peruncit berdaftar bagi memasarkan minyak masak subsidi di daerah ini.

Ujarnya, kilang tersebut membungkus lebih 10 tan metrik atau lebih 500 kotak setiap hari.

“Kami menaruh keyakinan kepada pihak KPDNHEP dan kerajaan akan dapat membendung isu ketirisan subsidi yang berlaku ketika ini. Selain itu, saya menyeru kepada pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana bekalan minyak ketika ini masih mencukupi,” ujarnya

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan masih meneruskan subsidi minyak masak peket pada harga RM2.50 sekilogram untuk semua pengguna di seluruh negara. Bagaimanapun, subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg tidak diteruskan bermula 1 Julai lalu dan harga ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN