Syarikat pembinaan didenda RM32,000 gagal patuh aspek keselamatan - Utusan Malaysia

Syarikat pembinaan didenda RM32,000 gagal patuh aspek keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebuah syarikat pembinaan di sini didenda sebanyak RM32,000 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Butterworth semalam atas tiga kesalahan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hakim Norhayati Mohamad Yunus  menjatuhkan hukuman denda itu ke atas syarikat Nam Lean Construction Sdn . Bhd. selepas wakil syarikat itu mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan yang dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat Nam Lean Construction Sdn . Bhd . didakwa di bawah Seksyen 10 ( e ), Akta Kilang dan Jentera 1967 iaitu sebagai majikan gagal memastikan setiap lubang di lantai di kawasan Underground Sewerage Treatment Plant (STP) ditutup dengan rapat bagi menghalang orang terjatuh.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat tersebut didakwa di bawah seksyen sama iaitu sebagai majikan gagal memastikan setiap tingkat atau lantai dipagar dengan kukuh di blok kemudahan fasiliti (Blok 3) dan blok asrama 5 tingkat (Blok E) bagi menghalang orang terjatuh.

Syarikat tersebut didenda RM15,000 bagi setiap kesalahan tersebut.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, mahkamah menjatuhi hukuman denda sebanyak RM2,000 di atas kesalahan di bawah Seksyen 29 (2), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang dibaca bersama Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997 iaitu sebagai majikan gagal mengambil kerja seorang orang yang kompeten untuk bertindak sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Kesalahan dilakukan pada 9 September 2020 di tapak pembinaan bagi projek cadangan untuk membina tujuh blok asrama pekerja lima tingkat di atas Lot 1226, Mukim 12, Jalan Perusahaan Valdor, Seberang Perai Selatan.

Syarikat Nam Lean Construction Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Leon Lim manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang,  Mohd. Najib Anuar dan siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat JKKP Pulau Pinang, Zurena Mohammad Yusoff. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya