SHAH ALAM: Kerajaan Selangor perlu menubuhkan satu jawatan kuasa bipartisan yang turut dianggotai wakil pembangkang bagi memantau Rancangan Selangor Pertama (RS1).
Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail berkata, jawatan kuasa itu akan memastikan pelaksanaan projek yang direncanakan kerajaan negeri dipantau pelaksanaan dan kemajuannya selain semakan secara berkala.
“Jawatan kuasa itu turut dapat memastikan langkah intervensi awal diambil jika terdapat projek utama rakyat yang berisiko mengalami kelewatan atau terbengkalai.
“Selain itu, saya berharap kerajaan negeri mengambil kira peranan pembangkang dalam penggubalan dasar penting seumpama itu atas semangat bipartisan demi kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, RS1 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melibatkan nilai keseluruhan RM212.4 bilion bagi tempoh lima tahun kerangka pembangunan negeri.
Sejumlah RM92.4 bilion diperuntukkan bagi projek pembangunan termasuk pelaksanaan beberapa insentif kepada rakyat.
Jelas Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, beliau menyuarakan beberapa isu utama dan kebimbangan mengenai pelaksanaan RS-1 itu.
“Selain intipati yang bukan baharu atau dijenamakan semula, kami menuntut perincian garis masa mengenai pelbagai rancangan dan projek yang dicanangkan itu.
“Saya juga membangkitkan soal tadbir urus dan prestasi pengurusan aset yang lemah oleh kerajaan negeri seperti kemelut Stadium Shah Alam, status Hotel Carlton dan bangunan Yayasan Selangor yang terbengkalai,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangkang secara prinsipnya tidak mempunyai isu untuk menyokong inisiatif dan usaha baik kerajaan negeri.
“Namun, saya menegaskan bahawa sokongan itu tidak mutlak dan tertakluk kepada penilaian prestasi dalam pelaksanaan dasar dan projek yang dijanjikan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










