GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) kecewa kerana gesaan supaya suruhanjaya siasatan awam (COI) berhubung kejadian banjir di Baling, Kedah diwujudkan, ditolak oleh Kerajaan Negeri Kedah serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa).
Presiden SAM, R. Meenakshi berkata, pada Rabu lalu, SAM menggesa Kerajaan Negeri Kedah mengadakan COI bagi mengetahui punca banjir di Baling.
”Kami membuat seruan ini untuk mengelak satu lagi tragedi seperti ini dan bukan hanya menyalahkan alam terutamanya kerana intensiti dan kekerapan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim akan menjadi masalah yang berulang.
”Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor berkata, COI seperti itu tidak diperlukan, memandangkan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sedang menyediakan laporan mereka berhubung insiden ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Banjir di Baling meragut tiga nyawa manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS), selain tujuh rumah musnah dan kira-kira 70 kediaman lagi rosak.
Menurut Meenakshi, SAM berpandangan laporan daripada agensi berkaitan yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah sahaja tidak mencukupi.
”Orang ramai perlu tahu apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan dan kematian yang berlaku.
”Menteri Besar Kedah perlu telus dalam hal ini dan bertanggungjawab kepada orang ramai di mana kesemua fakta mesti dibongkar,” katanya.
Tambah beliau, tidak cukup untuk menyalahkan kerajaan terdahulu atas sebarang tindakan atau tidak bertindak kerana kerajaan sedia ada mesti memperbetulkan apa yang salah.
”Apa yang diperlukan ialah tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah alam sekitar dan kecuaian mereka.
”Oleh itu, SAM menyeru Menteri Besar Kedah mendedahkan semua penemuan dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran negeri,” katanya.
Meenakshi berkata, tragedi seperti itu perlu dielak daripada berlaku di masa depan dengan melindungi ekosistem yang sensitif kepada alam sekitar seperti bukit dan gunung serta tidak membenarkan apa-apa jenis projek perladangan di kawasan tersebut. –UTUSAN ONLINE










