BALING: Polis tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas dengan tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kupang, di sini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, bagaimanapun mereka perlu mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu bagi memastikan ia diselaraskan.
“Kita tak mahu bantuan tertumpu kepada satu-satu tempat sahaja dan perlu menyeluruh agar masyarakat yang terkesan menerima bantuan sama rata.
“Sama juga kerja pembersihan, kita tak mahu mereka hanya tumpu di tepi-tepi jalan sahaja sedangkan banyak lagi rumah untuk dicuci yang jauh dari jalan utama,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas video tular dalam media sosial yang memaparkan rungutan seorang individu kononnya polis tidak membenarkan mereka masuk ke kawasan bencana untuk memberi bantuan.
Kata Shamsudin, mereka yang mendaftar dengan PKOB akan diberi surat dan jurupandu arah yang terdiri daripada pemimpin masyarakat agar memudahkan proses penghantaran barangan.
Beliau berkata, berdasarkan rekod PKOB sehingga kini, terdapat 121 permohonan daripada pelbagai pihak untuk membantu di kawasan tragedi itu dengan kesemuanya diberikan kelulusan.
“Selain itu, tujuan kita buat sekatan jalan raya adalah untuk mencegah mereka yang tiada kepentingan untuk masuk bagi mengelak timbul masalah lain.
“Banyak rumah belum berpenghuni sepenuhnya, kita tak mahu orang tanpa kebenaran amik kesempatan hingga jadi kejadian jenayah walaupun tiada laporan mengenai perkara itu sehingga kini,” katanya. –UTUSAN ONLINE










