KUALA LUMPUR: Mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) diberikan fleksibiliti dalam kaedah pembelajaran termasuk kebenaran mengikuti kelas secara dalam talian sekiranya berkeperluan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada setiap universiti agar memberi kelonggaran kepada pelajar khususnya dalam situasi yang memerlukan penyesuaian antara pembelajaran dan komitmen lain seperti pekerjaan.
Katanya, langkah itu bertujuan membantu mahasiswa menyeimbangkan keperluan akademik dan cabaran semasa tanpa menjejaskan kualiti pembelajaran.
“Ya, sebab itu kita sediakan fleksibiliti kepada pelajar-pelajar. Saya juga telah memaklumkan kepada universiti-universiti supaya membenarkan pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian jika diperlukan.
“Pendekatan itu bukan perkara baharu memandangkan kebanyakan universiti sebelum ini telah melaksanakan program pembelajaran secara dalam talian sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan mereka,” katanya kepada dalam akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di Hotel Wyndham Grand, di sini hari ini. – UTUSAN










