PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan dan Koperasi (Kuskop) mengemukakan pelan tindakan 10 perkara bagi memperkukuh kerjasama untuk meningkatkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah tersebut melibatkan institusi perbankan dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), diketuai Pengerusinya, Datuk Swri Khairussaleh Ramli.
Katanya, antara syor yang dibentangkan termasuk memberi keutamaan kepada sokongan asas perniagaan dengan memastikan akses berterusan kepada pembiayaan modal kerja.
“Ini memandangkan 43 peratus pinjaman PKS adalah bagi keperluan operasi supaya perniagaan dapat terus bertahan dalam menghadapi tekanan kos tenaga.Ia juga turut memfokus kepada penggunaan kriteria penilaian yang lebih inklusif dan praktikal bagi PKS dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan.
“Selain itu, pelan berkenaan turut mempercepatkan tempoh pemprosesan dan kelulusan pinjaman bagi memastikan sokongan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven Sim berkata, langkah tersebut turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara bank perdagangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta institusi kewangan pembangunan (DFI) bagi mengoptimumkan sumber serta memaksimumkan impak kepada PMKS.
Pelan itu juga menggariskan pendekatan “no wrong door” bagi memastikan PMKS dapat dirujuk kepada produk kewangan yang lebih sesuai di institusi lain, selain mempergiatkan program pembangunan kapasiti dan promosi produk kewangan khusus untuk sektor berkenaan.
Dalam masa sama, kerjasama bersama SME Corp Malaysia akan diperkukuh bagi meningkatkan nilai dan pengiktirafan status akreditasi PMKS, selain menyokong inisiatif PowerUp10k dalam usaha mempercepatkan penskalaan perniagaan tempatan.Pelancongan Malaysia
Steven Sim turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen institusi perbankan yang memberikan respons positif terhadap cadangan tersebut, sambil menegaskan bahawa pendekatan melibatkan keseluruhan ekosistem amat penting bagi memastikan kelangsungan dan daya saing PMKS.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri tokoh industri termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tay Ah Lek serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Bank, Mohd Rashid Mohamad.
Turut hadir, wakil pengurusan kanan daripada pelbagai institusi kewangan termasuk CIMB Bank, Hong Leong Islamic Bank, OCBC Bank (Malaysia), UOB Malaysia dan Standard Chartered, selain agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat, SME Bank dan TEKUN Nasional dalam pertemuan yang diadakan di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Kuala Lumpur. – UTUSAN










