Pengguna mengeluh sukar dapat minyak masak peket - Utusan Malaysia

Pengguna mengeluh sukar dapat minyak masak peket

Pengguna di Pulau Pinang mengeluh kerana terpaksa membeli minyak masak di dalam botol yang lebih mahal disebabkan kesukaran mendapatkan minyak masak peket sama ada di kedai runcit atau pasar raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Pengguna di sini kecewa apabila berdepan kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi yang kini menjadi alternatif minyak masak botol dua hingga lima kilogram (kg) yang telah dimansuhkan subsidinya bermula 1 Julai lalu.

Suri rumah, Noor Herdayu Rohime, 35, berkata, dia kini beralih menggunakan minyak masak peket bersubsidi yang jauh lebih murah namun berdepan kesukaran mendapatkannya di pasaran.

“Saya dapati pihak pengurusan di sesetengah pasar raya mahupun kedai runcit mengehadkan pembelian minyak masak tiga peket sahaja untuk satu keluarga. 

“Selain pembelian yang dihadkan, kami juga berdepan situasi kekurangan bekalan minyak peket. Nak tak nak terpaksa beli minyak botol. Itu pun tinggal yang lima kilogram sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Siti Hasdeela Roslan, 31, dari Tasek Gelugor, di sini berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu kerap melakukan tinjauan di kedai runcit mahupun pasar raya di setiap kawasan bagi memastikan tiada penyelewengan minyak masak peket bersubsidi.

“Kalau kurang pemantauan, salah laku dalam kalangan peniaga ataupun pemborong akan wujud. Mangsanya sudah tentu kami sebagai pengguna,” katanya.

Seorang peniaga nasi lemak ayam berempah di Taman Desa Ara Permai, di sini yang mahu dikenali sebagai Aqeela, 30, pula berkata, perbelanjaan minyak masak lima kilogram untuk sehari dianggarkan mencecah RM180 bagi empat botol.

“Sehari saya guna empat botol yang berharga kira-kira RM40 sebotol. Memang makan modal, minyak peket pula selalu habis. 

“Situasi ini sememangnya memberi tekanan kepada kami golongan peniaga. Harap pihak kerajaan lakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya.  – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN