Pekerja asing: Jangan bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja  - Utusan Malaysia

Pekerja asing: Jangan bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja 

ISMAIL Sabri Yaakob berucap pada Majlis Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN'22) di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para majikan digesa mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendekatan itu sebagai usaha mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing di samping mendengar keluhan pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

Dalam hal itu, kata beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian  Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan akan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga hujung bulan ini.

“KSM juga digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan tiga perkara utama iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.  

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, masih banyak rungutan diterima daripada pihak industri terhadap program MyMudah yang dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

Oleh  itu, katanya, MPC diminta menyelesaikan isu-isu berkaitan kerenah birokrasi melalui pengukuhan program MyMudah. 

Bagaimanapun, beliau berkata, sebanyak 30 peratus isu-isu yang diterima melalui MyMudah sudah diselesaikan dalam masa kurang dari 60 hari seperti mana yang  disasarkan. 

Sehubungan itu, kerajaan menggesa MPC berusaha untuk menyelesaikan kes-kes kompleks dalam tempoh 60 hari juga. 

“MPC (perlu) menyegerakan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya.  

“Tumpuan juga perlu diberikan kepada penubuhan MyMudah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan isu-isu birokrasi di peringkat tersebut dapat ditambah baik,” katanya.  

Pada masa sama, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan  program-program berkaitan sekuriti makanan negara yang dipersetujui kerajaan dengan segera.

Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya