[PARLIMEN]: Subsidi berjaya tangani inflasi, stabilkan harga - PM - Utusan Malaysia

[PARLIMEN]: Subsidi berjaya tangani inflasi, stabilkan harga – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan kerajaan meneruskan dan meningkatkan peruntukan subsidi lebih RM77 bilion tahun ini menjadi antara punca inflasi negara kekal rendah malah berjaya menstabilkan harga barang ketika ini.

Katanya, ini dibuktikan menerusi purata harga ayam yang menurun pada bulan ini, hasil tindakan meneruskan subsidi yang ditanggung kerajaan.

“Kita memberi subsidi kepada ayam untuk memastikan harga ayam tidak naik iaitu sebanyak RM1.1 bilion untuk ayam dan telur, telur kita bagi subsidi sebanyak 3 sen baru-baru ini dan mulai 1 Julai, harga ayam kita kurangkan 20 sen dari segi subsidi.

“Kesannya, harga ayam dan bekalan ayam sudah pun stabil, walaupun kita tetapkan harga kawalan RM9.40 tapi purata nasional harga ayam pada 9 Julai telah menurun kepada RM9.22 dan Pahang merekodkan harga terendah RM8.95. Jadi, intervensi kerajaan menunjukkan kejayaan kerana bekalan ayam sudah pun stabil dan harga dapat dikurangkan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah-langkah yang diambil untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik kepada rakyat.

Malah, Ismail Sabri mengakui, jika tidak kerana subsidi, inflasi negara mungkin boleh mencecah hingga 11 peratus.

“Subsidi menyebabkan inflasi kita kekal rendah, mungkin paling rendah di Asia Tenggara dan mungkin juga di seluruh dunia. Inflasi negara kekal pada 2.8 peratus dan jika subsidi tidak diberikan, inflasi negara mungkin meningkat kepada lapan hingga 11 peratus.

“Jika bandingkan negara jiran Thailand 7.7 peratus, Singapura 5.6 peratus, Indonesia 4.4 peratus, United Kingdom 9.1 peratus, Amerika Syarikat 9.1 peratus, Kesatuan Eropah (EU) 8.6 peratus. Maknanya kerajaan berbelanja lebih daripada RM77 bilion bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat daripada kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berpendapat, penambahan bantuan kewangan secara tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia turut membantu mengurangkan kesan kenaikan harga barang.

“Kita tidak boleh memberikan subsidi kepada setiap barang yang naik harga, takkan bawang naik harga besok kita nak bagi subsidi bawang, jadi kita beri tunai. Setakat ini, maksimum wang yang diperoleh B40 adalah sebanyak RM2,600 setahun.

“Saya umumkan baru ini fasa 2 daripada RM400 kita tambah jadi RM500 kita tambah RM100, menjadi RM500 dan keseluruhan RM2,600 setahun. Kita ada dua fasa lagi, fasa ketiga dan keempat..insya-Allah, kita akan tengok dari segi keadaan kalau perlu naik, kita naikkan. Kalau harga barang sudah stabil kita tak naikkan lagi,” katanya.

Beliau juga menganggap, tindakan meneruskan subsidi sebanyak RM4 bilion kepada minyak masak berpeket memastikan harganya tidak mencecah RM9.

“Yang selalu banding-bandingkan minyak masak 5kg, sepatutnya kita bandingkan antara minyak masak dalam peket 1kg berharga RM2.50 dengan minyak botol 1kg harga RM9, kalau tidak subsidi, minyak masak akan berharga RM9.

“Tetapi minyak masak harganya terlampau jauh bezanya maka banyak diselewengkan dan Kementerian Perdagangan Dalam Hal Ehwal Negeri  sedang mengambil tindakan untuk memastikan penyelewengan dapat dikurangkan,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan intervensi-intervensi kerajaan baik secara jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kesan kenaikan harga berjaya menstabilkan barangan bekalan dan menurunkan harga.

Katanya, peruntukan subsidi lebih RM77 bilion pada tahun ini mungkin akan bertambah lagi berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion pada 2022.

“Untuk mengurangkan tekanan harga, maka kerajaan meneruskan subsidi, jadi tidak ada subsidi yang ditarik, kalau ada kempen-kempen yang mengatakan ‘Sila kembalikan subsidi’…itu tidak betul kerana subsidi tidak pernah ditarik balik sejak daripada mula kita laksanakan subsidi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya