[Parlimen] Speaker kekal pendirian, tolak bahas isu Sulu - Utusan Malaysia

[Parlimen] Speaker kekal pendirian, tolak bahas isu Sulu

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yakin kerajaan boleh menjelaskan mengenai isu tuntutan waris kumpulan Sulu terhadap aset Petronas tanpa perlu mendedahkan sebarang strategi.

Katanya, pihak pembangkang juga hanya mahukan penjelasan mengenai isu tersebut.

“Tan Sri menyebut tak mahu dibahas isu Sulu kerana tak mahu dedahkan strategi, tetapi, kita bukan nak menteri dedahkan strategi dia, kita hanya nak penjelasan mengenai fakta-fakta kes ini bukan dedahkan strategi.

“Sedangkan kita sebagai pembangkang yakin menteri cukup pandai dan mampu memahami bahwa bila dia menjawab, tak payahlah dedah strategi nak bawa ke mahkamah untuk perbicaraan. Kalau nak bawa strategi pun mungkin sebagai decoy, bawa perkara lain tapi jawab perkara lain, itu terpulang kepada menteri.

“Tetapi kita yakin menteri tahu apa nak jawab soalan, jadi jangan anggap menteri langsung tak tahu macam mana nak jawab soalan tanpa mendedahkan sebarang strategi perundangan yang akan digunakan di mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun kekal dengan pendiriannya menolak isu tuntutan waris Sulu dibahas di Parlimen.

“Sebenarnya, subjudis ini ialah sesuatu perkara dalam proses litigasi atau dalam undang-undang jenayah, apabila sesuatu perkara itu walaupun di peringkat siasatan, dah pasti akan ke mahkamah. Maka sesuatu diskusi secara awam dalam apa cara pun mungkin mempengaruhi keputusan mahkamah ataupun mencederakan kepentingan orang-orang terlibat maka itu subjudis, itu secara amnya.

“Tapi kalau di Parlimen, pendapat saya, berkemungkinan ia mengganggu kepentingan pihak yang terlibat, maka saya tak boleh benarkan. Bukan saya kata kalau kita bincangkan perkara itu, strategi akan diserlahkan.

“Mungkin strategi diserlahkan, maka perbincangan itu terbuka, apa pihak Yang Berhormat dan menteri katakan mungkin akan mengeluarkan kritikan terhadap strategi itu, mengapa buat begitu, mengapa tak buat begini, mengapa tak buat awal, mengapa lambat…semua ini mengenai strategi. Jadi atas dasar itu dan sebab itu saya tolak,” kata Azhar Azizan.

Di sebalik penjelasan itu, Khalid tetap meminta Azhar supaya mempertimbangkan isu tersebut untuk dibahaskan.

“Akhirnya, menteri kena jawab apa isu yang ditimbulkan. Menteri kena pilih, kena pandai macam mana nak jawab. Kita kena tahu mengapa benda ini berlaku. Adakah tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) menghentikan bayaran RM5,300 setahun itu adalah punca segala masalah ini.

“Mengapa beliau ambil tindakan itu, atas nasihat siapa, menteri mesti seorang yang berwibawa dan mampu memahami soalan apa yang boleh dijawab, cara dijawab dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, isu itu tidak boleh dijadikan sesuatu isu yang tidak boleh disentuh sama sekali.

“Biarlah kita tanya kerana ini kepentingan awam, semua orang berbincang mengenainya, ini tempat terbaik untuk mendapat penjelasan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan menteri kerana pihak pembangkang yakin menteri bijak. Saya yakin menteri bijak tahu apa yang boleh dan tak boleh jawab, saya harap Tan Sri bagi sedikit kebebasan mengenai isu ini,” katanya.

Namun, Azhar meminta Khalid supaya memberikan kepercayaan kepada speaker Parlimen dalam mengadili isu tersebut.

“Saya harap Shah Alam juga mempunyai keyakinan terhadap saya. Saya buat keputusan, janganlah yakin kepada menteri sahaja,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya