[Parlimen] Speaker jamin tangani isu kata-kata kesat di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

[Parlimen] Speaker jamin tangani isu kata-kata kesat di Dewan Rakyat

parlimen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memberi jaminan akan menangani isu dakwaan kata-kata kesat yang digunakan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ini selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Azhar supaya mengambil tindakan terhadap ahli-ahli Parlimen yang melakukan menggunakan bahasa biadap atau kenyataan seksis.

Malah, beliau mendakwa, kenyataan kesat daripada Tajuddin ditujukan kepada ahli Parlimen wanita.

“Sehingga sekarang, beliau tidak menafikan ada keluarkan kenyataan kesat. Saya harap Tan Sri boleh panggil dia, jangan main-main perkara ini. Kalau ada sebut, silap…tarik balik dan minta maaf. Sekiranya tak keluar kenyataan tersebut, nyatakan dengan jelas dan kita akan cabar dia. Kalau dia berani, angkat sumpah bahawa dia tak keluarkan kenyataan kesat.

“Sesuatu yang salah ini mesti dibetulkan kalau tidak…tidak ada makna untuk kita mengambil bahagian dalam dewan yang mulia ini apabila ada ahli Parlimen yang boleh keluarkan kenyataan kesat dan dia pula mewakili negara untuk menjadi Duta Malaysia ke Indonesia, malu betul.

“Orang duta keluarkan bahasa kesat ini tidak akan memperbaiki hubungan penting antara Malaysia dan Indonesia,” katanya di Dewan Rakyat.

Azhar mengambil maklum terhadap permintaan Guan Eng dan perkara itu akan diteliti dengan segera.

“Bukan saya yang pengerusikan ketika itu, saya tak tahu sama ada waktu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon atau Datuk Ramli Mohd Nor.

“Biar saya bincang dengan pengerusi majlis waktu itu untuk mengetahui apa yang sebenarnya yang terjadi,” katanya.

Namun, Guan Eng sekali lagi meminta Azhar untuk mengambil tindakan kerana ia melibatkan penghormatan terhadap wanita.

“Tolong panggil dia, ini bukan benda lawak, ini perkara yang penting, kita kena martabatkan wanita, macam mana dia boleh gunakan kata-kata kesat ke atas ahli Parlimen wanita. Kita kena hormati wanita,” kata Guan Eng.

“Ya hormat, tapi hormat itu double-edged sword,” kata Azhar sebelum beberapa ahli Parlimen menegaskan bahawa kata-kata kesat itu berlaku bukan kerana wujudnya provokasi terhadap Tajuddin.

“Saya akan tanya pengerusi majlis waktu itu, biar saya tangani perkara ini,” kata Azhar. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN