KANGAR: Rakyat Malaysia yang memasuki Thailand dinasihatkan melakukan saringan air kencing menggunakan kit ujian mengesan ganja sebelum pulang semula ke tanah air bagi memastikan mereka bebas daripada bahan terlarang itu sepanjang berada di negara terbabit.
Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan mereka disabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sekiranya didapati positif sekembali ke negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menegaskan, apa-apa produk berasaskan ganja yang menyebabkan mereka khayal boleh disabitkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, begitu juga memiliki atau mengedarnya di negara ini.
Beliau berkata, rakyat negara ini yang berkunjung Thailand dinasihatkan agar membuat ujian saringan air kencing menggunakan kit ujian di negara tersebut sebelum pulang ke Malaysia.
“Memandangkan kita sebagai pelancong yang berkemungkinan tidak mengetahui produk makanan yang diambil sama ada ia mengandungi ganja atau sebaliknya. Oleh itu bagi memastikan diri kita bebas daripada bahan terlarang itu, sebelum pulang ke Malaysia, nasihat saya buat ujian kendiri tersebut,” katanya di sini.
Thailand sebelum ini membenarkan rakyatnya menanam dan menggunakan ganja untuk kegunaan sendiri sedangkan ia menjadi satu kesalahan besar di negara ini.
Pada masa ini dianggarkan 1,000 orang rakyat Malaysia mengunjungi negara jiran tersebut setiap hari sejak pintu sempadan kedua-dua negara dibuka April lalu. – UTUSAN










