OPR: Peminjam B40 paling terkesan

OPR: Peminjam B40 paling terkesan

wang digital
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih lima ju­ta peminjam akan berdepan ke­­naikan kadar baharu faedah bank dan peningkatan kos sara hidup susulan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Paling terkesan ialah kumpulan B40 berpendapatan bawah RM4,000 yang bergantung kepada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melunaskan bayaran pin­jaman dan pada masa sama ber­gelut dengan kenaikan harga ba­rang.

Kadar baharu OPR itu akan menyebabkan bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan mi­salnya, meningkat antara RM90 hingga RM200 jika harga rumah yang dibeli antara RM200,000 hingga RM300,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM), Dr. Madeline Berma berkata, kenaikan OPR sepatutnya hanya memberi kesan kepada bank-bank ko­mersial, namun institusi ke­wangan itu juga akan ber­tindak balas dengan menaikkan kadar faedah ter­hadap peminjam.

“Kenaikan OPR hanya seka­dar meredakan ketidaktentuan eko­nomi dan kalau yang melabur akan senyum lebar kerana kadar bunga naik, tetapi bagi peminjam, mereka akan terkesan kerana bank akan laksana kadar bunga baharu. Kalau mereka buat pinjaman kereta atau rumah, bayaran bulanan mereka sudah pasti akan terkesan.

“Jadi, mereka tiada pilihan, mungkin terpaksa berunding semula nilai bayaran pinjaman, kerana mereka perlu bayar lebih banyak selepas kadar bunga dinaikkan.

“Yang lebih parah, ada yang mungkin perlu rujuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), kalau tidak peminjam akan sakit selepas ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada masa sama, Madeline juga mengakui dan tidak menolak kemungkinan ke­naikan OPR secara tidak lang­sung akan menaikkan harga barang di pasaran.

“Ia tidak akan memberikan kesan secara langsung tetapi perlu diingat, pengusaha dan penjual akan menggunakan apa jua alasan untuk menaikkan harga barang.

“Yang paling terkesan ada­lah golongan pekerja yang menerima pendapatan bawah RM4,000, yang dalam kategori B40 dan yang bergantung kepada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ka­tanya.

Beliau mengulas Jawatan­kuasa Dasar Monetari BNM menaikkan Kadar Dasar Se­malaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing ke­pada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Kenaikan OPR itu akan meningkatkan kadar pinjaman rakyat yang kini berdepan te­kanan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan keperluan yang tinggi.

Menurut BNM, pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi, namun faktor-faktor itu sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN