KANGAR: Operator perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi menyarankan orang ramai supaya menggunakan kaedah pembelian tiket secara dalam talian bagi merancang perjalanan mereka.
Pegawai Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Roslan Ab Ghani Seman berkata, kaedah tersebut dapat menggelakkan pelancong berdepan kesulitan berbanding pembelian secara terus di kaunter.
Mengenai kesesakan di Terminal feri Kuala Perlis semalam, beliau tidak menafikan perkara itu memandangkan jumlah penumpang sememangnya meningkat pada cuti hujung minggu berbanding hari biasa.
“Mengenai dakwaan 1,000 terkandas dan tak dapat membeli tiket, saya rasakan perkara itu tidak tepat. Berdasarkan maklumat saya terima, mungkin ada yang tidak dapat tiket, namun, jumlahnya hanya bawah 100 orang sahaja dan mereka memilih untuk ke Pulau Langkawi menggunakan perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan (Roro).
“Keadaan di sini juga kelihatan sesak disebabkan kebanyakan pelancong datang bersama rombongan dan menunggu giliran untuk memasuki balai berlepas,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sekitar 1,000 pelancong yang ingin ke Pulau Langkawi terkandas di Jeti Kuala Perlis kerana tiket habis sekali gus mengundang kesesakan luar biasa di situ.
Tiket untuk menaiki feri di terminal berkenaan dikatakan habis terjual seawal pukul 10 pagi.
Pemilik syarikat pelancongan, Faizul Abidin, 39, dilaporkan berkata, dianggarkan 1,000 pelancong terkandas dan terpaksa membeli tiket pada tarikh lain disebabkan oleh masalah kekurangan perkhidmatan feri di terminal berkenaan.
Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya juga sememangnya mempunyai perancangan untuk menambah jumlah feri buat penumpang namun ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya situasi paras air di terminal itu.
Ujarnya, perkhidmatan itu juga terpaksa bermula lambat sekitar jam 10.30 pagi semalam disebabkan oleh keadaan paras air yang cetek yang menyukarkan feri berlabuh.
“Cabaran kami adalah alur pelayaran yang cetek dan feri penumpang juga hanya boleh berlabuh di terminal sekiranya melebihi paras air 1.6 meter dari dasar laut,” katanya.
Ujar Roslan, kebiasaannya sebanyak lima trip perjalanan feri diperuntukkan pada setiap hari Khamis hingga Ahad dan tiga trip pada hari Isnin hingga Rabu.
“Kami sememangnya memahami keadaan penumpang yang tidak dapat membeli tiket feri di kaunter dan disebabkan itu kita galakkan pembelian dalam talian bagi memudahkan mereka merancang perjalanan,” katanya. –UTUSAN ONLINE