PUTRAJAYA: Indonesia menarik balik sekatan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua negara sepakat mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan PDI.
Menurutnya, integrasi sistem itu akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia dan bakal beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia Indonesia.
Bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, jelas beliau, satu projek rintis dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik sahaja integrasi sistem selesai.
“Oleh itu, bagi majikan yang kuota pekerja warga asing mereka diluluskan Kementerian Sumber Manusia, mereka digesa segera membuat bayaran levi dengan Jabatan Imigresen.
“Bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia pula, mereka boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Saravanan berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuannya bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah dalam mesyuarat kumpulan kerja bersama antara kedua-dua negara semalam bagi membincangkan isu berkaitan dasar dan teknikal pelaksanaan MoU PDI yang ditandatangani pada 1 April lalu.
Saravanan berkata, beliau dan rakan sejawatannya itu turut berbincang mengenai isu pemerdagangan orang termasuk buruh paksa.
Untuk itu, kedua-dua pihak komited meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dan memperkasakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia bagi menangani isu berkenaan.
“Saya percaya penyelesaian isu-isu dalam MoU PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing,” katanya.
Sebelum ini, Indonesia dilapor mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja warganya memasuki Malaysia berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Dalam Talian Pembantu Rumah (MOS) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia. – UTUSAN










