KPDNHEP Perak kesan peniaga kenakan pembelian bersyarat minyak masak peket - Utusan Malaysia

KPDNHEP Perak kesan peniaga kenakan pembelian bersyarat minyak masak peket

KERTAS yang tertera syarat pembelian minyak masak berpeket satu kilogram bersubsidi yang ditemukan di sebuah premis runcit dalam pemeriksaan KPDNHEP Perak baru-baru ini. - UTUSAN/IHSAN KPDNHEP PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengesan sebuah premis runcit di Parit Buntar yang mengenakan pembelian bersyarat terhadap pembelian minyak masak peket satu kilogram bersubsidi.

Perkara itu dikesan dalam operasi pemeriksaan rantaian bekalan minyak masak di negeri ini melalui Ops Ayam,Telur dan Minyak Masak (ATM) Fasa II baru-baru ini.

Kegiatan itu dikesan berikutan penemuan sekeping kertas yang tertera pembelian bersyarat untuk membeli minyak masak berpeket di kedai tersebut.

Berdasarkan pembelian bersyarat yang dikesan itu, peniaga menetapkan pembelian runcit bernilai RM1,000 untuk pembelian 25 peket minyak masak, nilai pembelian RM500 untuk 12 peket, nilai pembelian RM300 bagi pembelian lima peket dan nilai pembelian RM100 untuk tiga peket.

Sementara pembelian barangan bernilai RM50 pula dibenarkan untuk membeli dua peket minyak masak manakala bagi setiap pembelian satu peket minyak masak, pembeli disyaratkan membuat pembelian barangan runcit terlebih dahulu.

Berikutan itu, KPDNHEP Perak merampas 2,162 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram dengan nilai RM5,405 dari premis tersebut.

“Sebanyak 478 pemeriksaan ke atas rantaian bekalan minyak masak peket satu kilogram bersubsidi telah dilaksanakan oleh KPDNHEP Perak sejak 1 Julai 2021 di bawah OPS ATM Fasa II.

“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 11 kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan berjumlah RM5,405.

“Satu kes melibatkan sebuah premis runcit di Parit Buntar yang mengenakan pembelian bersyarat kepada pembeli yang mahu membeli minyak masak peket satu kilogram. Sebanyak 2,162 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram dengan nilai RM5,405 telah dirampas dari premis tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu Mengenakan Syarat Tanpa Kebenaran Pengawal.

“Manakala 10 kes lagi melibatkan kesalahan kegagalan dalam mengemaskini penyata stok dan deklarasi dokumen di seluruh Perak,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Sementara itu, di Teluk Intan, pembeli mendakwa terdapat premis runcit yang menetapkan pembelian bersyarat minyak masak berpeket iaitu perlu terlebih dahulu membuat belian runcit sebanyak RM50 sebelum dibenarkan membeli sepeket minyak masak satu kilogram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman berkata, syarat itu membebankan pengguna dan tidak sewajarnya berlaku.

“Kalau kami nilai belian runcit tidak sampai RM50, kami tidak dapat membeli minyak masak berpeket.

“Tindakan peniaga ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia membebankan kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN