SEPANG: Setelah 43 hari berada di Tanah Suci, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Ketibaan mereka disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji.
“Alhamdulillah, semua mereka dilaporkan selamat dan kita bersyukur operasi haji musim ini berjalan lancar tanpa ada sebarang insiden buruk tidak diingini,” katanya kepada pemberita.
Kumpulan seramai 298 orang itu merupakan pertama berlepas ke Tanah Suci pada 4 Jun lalu, setelah dua tahun Malaysia tidak dapat menghantar jemaah ekoran penutupan sempadan.
Malah, Arab Saudi pada 2020 dan 2021 hanya membuka ibadah haji secara terhad kepada penduduk serta warga asing menetap di negara itu bagi mengekang penularan kes Covid-19.
Untuk musim 2022, Malaysia menerima kuota rasmi 14,306 individu sahaja susulan langkah kerajaan Arab Saudi menghadkan cuma sejuta jemaah luar negara menunaikan ibadah itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pesawat Saudia Airlines penerbangan SV 5612 yang membawa jemaah itu berlepas dari Jeddah pada pukul 7.10 malam tadi waktu Arab Saudi.
Ia mendarat di KLIA pukul 9.05 pagi ini sebelum diikuti baki 48 lagi penerbangan yang akan tiba secara berperingkat sehingga pesawat membawa kumpulan terakhir pada 13 Ogos kelak.
“Bagi jemaah yang masih lagi berada di sana, saya menasihatkan agar mereka jaga kesihatan dengan banyak minum air serta tidak terdedah lama di kawasan sesak dan panas,” katanya.
Menyentuh keadaan jemaah Malaysia kali ini, beliau memaklumkan setakat ini hanya ada seorang yang telah meninggal dunia, manakala 32 orang pula menerima rawatan hospital di sana.
Kebanyakan kes rawatan itu melibatkan strok haba susulan cuaca panas dengan suhu yang mencecah hampir 50 darjah Celsius, namun ketika ini situasi kesihatan mereka adalah stabil.
Ahmad Marzuk turut merakamkan penghargaan kerajaan Malaysia kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta semua pihak yang terlibat dalam menyantuni setiap tetamu Allah.
Seramai 85 peratus daripada jemaah kali ini diurus secara pakej muassasah iaitu ditanggung subsidi manakala baki memilih pakej swasta dikendali Pengelola Jemaah Haji yang berlesen.
Tinjauan Utusan Malaysia di ruang ketibaan mendapati, ramai jemaah kelihatan ceria meskipun agak kepenatan setelah menempuh penerbangan selama sembilan jam.
Mereka terdahulu menjalani saringan suhu badan oleh petugas kesihatan dekat pintu jejambat udara dan kemudian mengimbas pasport di tiga kaunter khas Jabatan Imigresen Malaysia.
Langkah pemeriksaan terus di ruang menunggu itu membolehkan jemaah terbabit tidak perlu beratur di laluan biasa dan hanya pergi menuntut bagasi sebelum memasuki dewan ketibaan. – UTUSAN










