Keterlaluankah saya bergelek? – Beby Acha - Utusan Malaysia

Keterlaluankah saya bergelek? – Beby Acha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIASALAH. Orang kata, kalau seseorang artis yang baru hendak meningkat naik, jika tidak buat sesuatu untuk meraih perhatian orang, alamatnya, lagi lambatlah dia dapat mengecapi populariti.

Bukan umum tidak tahu, zaman sekarang ini, banyak sahaja cara untuk cepat meraih populariti. Paling tidak pun, guna sahajalah jalan mudah, menerusi segala macam platform media sosial.

Bercakap mengenai media sosial, penyanyi, Beby Acha, e31, juga nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam bab ini.

Tiada yang salah, cuma banyak mata yang ‘sakit’ menonton gelagat Beby di aplikasi Tiktok.

Ada yang mendakwa penyanyi ini terlalu seksi menari di ruangan itu sehingga mencetuskan banyak tanda tanya,sama ada dia tidak sengaja atau punya agenda mencipta kontroversi.

Kata Beby yang popular dengan lagu Jerung Merah, dia tidak menyangka ada pihak melabel dirinya seksi ketika bergelek dan menari.

“Rasanya, gelekan saya masih dikira tertib di TikTok atau di persembahan. Saya tak pandai nak terlalu berusaha menari dan bergelek berlebih-lebihan. Sebabnya itu bukan diri saya.

“Betul, ada yang suruh saya gelek sampai tahap ‘gerudi’ seperti artis dangdut lain. Tapi saya rasa ia akan jadi kelakar. Paras gelekan saya hanya pada tahap tertentu saja. Kalau keterlaluan bergelek, rasa macam merepek sangat.

“Pendek kata saya hanya menjadi diri sendiri. Mungkin saya pakai biasa dan bergelek, orang nampak saya terlalu seksi. Hal itu sangat subjektif. Tapi keterlaluan sangatkah saya menari?” katanya.

ARWAH ACHIK
Pun begitu, kata Beby, dia ralat apabila diberitahu, nama arwah abangnya, Achik terkait oleh netizen yang lantang menabur komen di ruangan media sosial.

“Entahlah, apabila ada segelintir netizen kaitkan kontroversi saya dengan arwah, saya rasa perkara itu tak seharusnya terjadi. Saya yang terpalit dengan kontroversi, jadi kalau orang tegur saya, saya tak kisah.

“Janganlah kaitkan dengan arwah, lagi-lagi dia dikenali orang ramai. Dengan hati terbuka, saya rela menerima kritikan dan teguran orang lain.

“Selama ini pun kalau ada isu berbangkit sebegitu, saya abaikan saja. Saya malas ambil tahu. Bagi saya kecaman di media sosial ini tak pernah menjadi kudis. Kalau terlalu fikir, tak jadi kerja. Kalau hadap baca komen, memang tak jadi apa-apa,” katanya.

Selain itu, kata Beby, sejak membabitkan diri dalam dunia seni, dia sebenarnya memilih untuk berdiri atas kaki sendiri dan enggan menumpang nama arwah Achik serta adik-beradik lain iaitu Tajul, Khalis dan Awis.

“Saya memang tak jaja nama sebagai adik arwah contohnya. Tapi lama-kelamaan, cerita sebenar dapat dihidu dan tak dapat dikawal.

“Saya hanya mahu mencari rezeki dan tanpa boleh menidakkan minat ini juga seperti meneruskan legasi arwah dan lain.

“Dulu rasa tak ada orang kenal Beby Acha pun. Jadi apabila jadi diri sendiri yang selamba dan spontan dan tiba-tiba orang kenal, saya cuak. Selepas itu; saya mula berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk,” katanya.

JIWA DANGDUT
Beby menambah, dia menjadi satu-satunya wakil perempuan dalam kalangan keluarga yang menyanyi dan minat itu sudah lama bercambah sejak dari kecil.

“Cuma adik-beradik lain termasuk arwah pilih lagu rentak balada atau pop, saya pula minat irama dangdut sejak dari kecil.

“Memang agak lambat saya bermula dan ditambah saingan bakat baharu yang jauh lebih muda. Tapi saya percaya aturan Tuhan itu terbaik yang buka peluang saya saat ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai percubaannya menyertai Maharaja Lawak 3,Beby bersaing di bawah kumpulan Joki di samping pelawak Gomok Gahai dan Fuad Nasir.

“Gomok dan Fuad menghubungi saya di Instagram (IG) untuk ajak turut serta bersama mereka. Kebetulan mereka mencari peserta yang boleh menyanyi lagu dalam dialek Negeri Sembilan dengan baik, jadi saya cabar diri kerana berasal dari sana.

“Kali pertama kami jumpa pun sudah serasi. Harap perjuangan Joki akan dipermudahkan,” katanya.

MLS3 yang menetapkan tema Kesultanan Melayu Melaka akan bersiaran bermula 22 Julai ini.

Ia menampilkan saingan 12 kumpulan (peserta) dengan antara yang tersenarai ialah Roy Azman, Achey, Fad Bocey, Shiha Zikir dan Man Raja Lawak.

MLS3 bakal menampilkan hos Elly Mazlein di sampingan gandingan baharu yang belum didedahkan sementara Siti Saleha, Datuk Awie dan Najib Ali pula berada di kerusi juri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya